Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
73,653 remaja 12-17 tahun di Selangor belum divaksin
Diterbitkan:  Nov 29, 2021 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Sejumlah 73,653 remaja berumur 12 ke 17 di Selangor masih belum divaksin daripada keseluruhan 569,100 populasi kumpulan umur berkenaan, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dimaklumkan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata seramai 495,447 individu dari kumpulan umur berkenaan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai jumlah penduduk Selangor berumur 12 tahun dan ke atas yang belum divaksin.

Dr Siti Mariah berkata proses pemberian vaksin COVID-19 kepada populasi remaja berumur 12 ke 17 tahun di negeri ini, masih berjalan melibatkan agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi kumpulan remaja yang sukar hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV), seperti remaja yang tidak bersekolah, remaja orang asli, remaja di dalam pusat institusi pemulihan atau rumah perlindungan, proses pemberian vaksinasi dilakukan menerusi program jangkau luar oleh Pasukan Outreach Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan NGO seperti MERCY Malaysia dan IMAM Response and Relief Team (Imaret),” katanya.

Bagi populasi remaja berusia lebih 18 tahun, Dr Siti Mariah berkata dianggarkan sejumlah 275,237 orang masih belum divaksin manakala 4.27 juta telah menerima satu dos berbanding jumlah populasi 4,551,800 remaja lingkungan umur tersebut.

“Sebahagian kecil yang belum divaksinasi (populasi remaja berusia lebih 18 tahun) merupakan mereka yang tergolong dalam kategori yang tidak boleh menerima vaksin atau mempunyai kontraindikasi kepada vaksin COVID-19, manakala selebihnya merupakan golongan yang menolak vaksin,” katanya.

Bagi populasi remaja yang sukar hendak dijangkau, pasukan outreach PKD sedang berusha membantu mevaksinkan mereka, katanya.

Dr Siti Mariah berkata bagi penjawat awam pula, berdasarkan data daripada 43 jabatan dan agensi sehingga 16 Nov lepas, jumlah penjawat awam yang masih belum menerima vaksin COVID-19 hanya seramai 132 orang iaitu 0.59 peratus daripada 22,314 penjawat awam di Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS