Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga kecil hantar surat, MP usul parlimen bahas harga barang
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 5:55 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Di tengah-tengah kekecohan berhubung isu kenaikan harga barangan asas yang sedang hangat disuarakan pelbagai pihak, ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub hari ini membawa usul berkenaan isu tersebut di Dewan Rakyat.

Usul tersebut dibawa di bawah peraturan mesyuarat 18(1)(2) usul perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

Menurut bekas menteri pertanian dan asas tani itu, tindakannya itu dibuat selepas menerima surat rayuan daripada seorang peniaga kecil, Syamsuri Mohd Zain di perkarangan Parlimen hari ini, yang memohon supaya harga barangan asas dapat diturunkan.

Syamsuri bersama Salahuddin

Menurut Timbalan Presiden Amanah itu, surat rayuan itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Salahuddin menyarankan supaya kenaikan barangan asas yang mendadak yang mendapat perhatian di dada akhbar sejak akhir-akhir ini mendapat perhatian dan tindakan segera daripada pihak berwajib.

"Kenaikan harga barang asas tanpa kawalan ini menjejaskan kos sara hidup dan memberi tekanan bukan sahaja kepada pengguna bahkan kepada golongan peniaga kecil," katanya dalam usul kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Usul tersebut turut dimuat naik dalam Twitternya hari ini.

"Saya percaya bahawa isu-isu ni adalah berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peraturan mesyuarat 18(1)(2)," katanya.

Terdahulu, ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi supaya meletakkan jawatan jika dia gagal menyelesaikan kenaikan harga barang menjelang 9 Disember.

Ini susulan kenyataan Alexander yang pada 25 November berkata, bahawa isu itu akan diselesaikan dalam beberapa minggu.

Lihat Komen
ADS