Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Cuti umum esok akan akibatkan kita kerugian RM400 juta’
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming membidas keputusan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim yang mengumumkan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mendapat cuti umum tambahan esok bagi meraikan kemenangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam kejohanan bola sepak Piala Malaysia, Selasa lalu.

Katanya, tindakan Shahidan itu adalah populis tetapi tidak bertanggungjawab dari segi politik.

"Pengisytiharan cuti umum secara tiba-tiba ini mengganggu ekonomi dan sosial banyak pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, memandangkan Kuala Lumpur adalah hab perkhidmatan kewangan, percutian secara tiba-tiba boleh menyebabkan kehilangan pengeluaran atau hasil jutaan ringgit yang tidak dirancang.

"Sesetengah syarikat mungkin perlu membayar lebih untuk kerja masa tambahan yang tidak dirancang untuk memastikan beberapa perkhidmatan teras mereka kekal dan berjalan semasa cuti umum ini.

"Secara kasar, cuti umum yang tidak dirancang ini boleh mengakibatkan kerugian sebanyak RM400 juta dalam pengeluaran yang hilang, sesuatu yang negara tidak mampu hadapi semasa kita pulih daripada wabak Covid-19," kata Ong.

Menurutnya perniagaan yang perlu melakukan urusan dengan pejabat kerajaan pula terpaksa menangguhkannya, dan in mengakibatkan kehilangan masa dan produktiviti.

Selain itu, ahli parlimen DAP berkenaan berkata akan wujud juga gangguan sosial, seperti ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Selangor, yang terpaksa membuat urusan penjagaan anak secara tiba-tiba untuk anak-anak mereka yang tidak perlu ke sekolah.

"Mereka yang mempunyai kes yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat ini, juga akan mendapati tarikh perbicaraan mereka terpksa ditangguhkan dan kesannya, kes mahkamah lain turut terjejas dan terpaksa ditangguhkan," tambahnya.

Semalam, menteri Umno itu berkata kemenangan itu adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia, yang mana kali terakhir kemenangan adalah pada 1989.

Perlawanan itu menyaksikan KL City FC menewaskan Johor Darul Takzim FC, atau lebih dikenali sebagai JDT, 2-0.

Lihat Komen
ADS