Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Rayuan kes SRC Najib: Peguam senaraikan beberapa kemungkinan

ULASAN l Pada hari Rabu, 1 Disember lalu, Najib Razak telah dilaporkan oleh media, bahawa dia telah failkan satu Permohonan untuk kebenaran menampilkan dan menerima "keterangan baru" bagi tujuan diambilkira dalam rayuannya berhubung sabbitan dan hukuman semua tujuh pertuduhan jenayah SRC yang telah ditetapkan untuk keputusan di Maahkamah Rayuan 8 Disember ini.

Saya telah menulis berkaitan kemungkinan-kenungkinan yang akan berlaku akibat daripada perkembangan ini menurut prinsip Kedaulatan Undang-Undang.

Pada hari ini, Malaysiakini dengan tajuk "Kes SRC: Permohonan Najib kemuka bukti baru didengar 7 Disember" melaporkan:

"Permohonan Najib Razak untuk membenarkan bukti baru dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC Internasional Sdn Bhd, akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.

Semakan pada jadual kes mahkamah hari ini menunjukkan bahawa pendengaran itu ditetapkan pada 7 Disember ini.

Perkara itu turut disahkan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaran."

Akibat daripada pengesahan bahawa permohonan itu telah ditetapkan untuk didengar pada 7 Disember, yakni satu hari sebelum tarikh keputusan berkaitan sabitan dan hukuman semua tujuh pertuduhan jenayah SRC itu maka ianya boleh dinyatakan bahawa kemungkinan yang boleh berlaku dari segi kedaulatan undang-undang adalah:

a. Jika mana-mana pihak memohon masa untuk failkan afidavit yang perlu untuk menampilkan fakta lanjutan berkaitan Permohonan itu, dan dapat meyakinkan Mahkamh Rayuan bahawa permohonan itu perlu ditangguhkan pendengarannya untuk tujuan itu, maka bicara permohonan itu masih boleh lagi ditangguh, dan oleh yang demikian tarikh keputusan rayuan juga akan secara susulan ditangguh sehingga selepas pendengaran permohonan itu, atau

b. Jika Mahkamah Rayuan teruskan dengan bicara permohonan pada 7 Disember ini, maka:

i. Selepas mendengar permohonan itu, dan jika Mahkamah Rayuan itu tidak berpuas hati bahawa Najib Razak telah berjaya memenuhi semua elemen wajib yang diperlukan di bawah prinsip undang-undang untuk membolehkan penganugerahan kebenaran bagi tujuan penampilan keterangan baru, maka permohanan itu boleh ditolak, dan keputusan rayuan diteruskan penganugerahan pada 8 Disember atau

ii. Selepas mendengar permohonan itu, dan jika Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Najib Razak telah berjaya memenuhi kesemua elemen wajib yang diperlukan di bawah prinsip undang-undang untuk membolehkan penganugerahan kebenaran bagi tujuan penampilan keterangan baru, maka permohanan itu boleh dibenarkan dengan arahan lanjut berkaitan penerimaan dan pengambilan mana-mana keterangan baru oleh Mahkamah Rayuan yang berkemungkinan akan memerlukan penetapan tarikh pendengaran keterangan baru sebelum keputusan rayuan diberikan, dan oleh itu keputusan rayuan juga akan secara susulan ditangguh sehingga selepas proses penerimaan dan pengambilan keterangan baru itu.

Setiap kemungkinan ini adalah berpandukan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada semua individu yang menghadapi proses perundangan jenayah di negara ini, dan akan dibincangkan dengan lanjut dalam program bual bicara pada jam 9 malam, esok.

Seyogia, rakyat Malaysia adalah disarankan memahami dan sabar menanti proses keadilan jenayah pada 7 Disember tanpa dengan tergesa-gesa menampilkan mana-mana persepsi negatif terhadap mana-mana pihak.


HANIFF KHATRI adalah seorang peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen