Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua kontrak rapat kes pertama Omicron negatif Covid-19
Diterbitkan:  Dec 3, 2021 10:07 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Semua tujuh orang yang menjadi kontak rapat kepada kes pertama varian Omicron di Malaysia didapati negatif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut diuji negatif ialah pelajar yang dijangkiti varian berkenaan.

Menurut Noor Hisham sebanyak lapan sampel diuji secara tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) dan keputusan yang diperolehi hari ini menunjukkan ia adalah negatif.

"Alhamdulillah," ciapnya awal malam ini.

Menurut Noor Hisham tujuh kontak rapat tersebut melibatkan seorang pemandu, seorang pekerja universiti, tiga rakan pelajar terbabit membabitkan dua dari Ghana dan seorang dari India, serta dua rakan sebiliknya.

Pelajar perempuan dari Afrika Selatan itu tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 19 Nov lalu, iaitu seminggu sebelum varian Omicron dikesan.

Apabila tiba di KLIA satu sampel diambil daripadanya sebelum dibawa menaiki bas universiti dari situ ke Ipoh dan menjalani kuarantin kendiri.

Sehari kemudian pelajar terbabit menerima keputusan ujian yang menunjukkan dia positif. Keputusan itu mendorong semua kontak rapatnya diarah menjalani kuarantin juga.

Pelajar berkenaan selesai menjalani kuarantinya pada 29 Nov lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menggesa orang ramai agar bertenang dan menegaskan bahawa sistem semasa sedang berfungsi untuk memastikan varian berkenaan terkawal.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS