Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSB janji tanah pegangan bebas, sekularisme, penghutanan semula
Diterbitkan:  Dec 7, 2021 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

PRN SARAWAK | Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini melancarkan manifesto pilihan raya yang menjanjikan perubahan radikal sekiranya parti itu berkuasa.

Perkara-perkara penting bagi dokumen bertajuk "Sudah tiba masanya untuk tukar" itu adalah seperti berikut:

Autonomi dalam pendidikan

Pendidikan di Sarawak akan diuruskan secara autonomi untuk memenuhi "keperluan dan aspirasi" rakyat Sarawak. Sesetengah sekolah bantuan bukan kerajaan akan menerima pembiayaan kerajaan.

Pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran akan diberi jaminan.

Dana kekayaan negara

PSB mahu mewujudkan dana kekayaan negara berjumlah RM100 bilion daripada pendapatan minyak dan gas serta pesisirnya.

Tanah pegangan bebas

Dasar kerajaan Sarawak pada masa ini tidak memberikan jaminan pemilikan tanah. 

Lazimnya, hakmilik tanah kediaman baru adalah dengan pajakan selama 60 tahun atau 90 tahun.

PSB mahu menukar semua hakmilik tanah kediaman daripada pajakan kepada pegangan bebas.

Semua Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan dikeluarkan hakmilik tanah selama-lamanya.

Pilihan raya kerajaan tempatan

PSB menjanjikan lebih 50 peratus ahli majlis perbandaran dan luar bandar akan dipilih oleh penduduk masing-masing.

Penghutanan semula

PSB berikrar untuk penghutanan semula tanah seluas 1 juta hektar.

Geran perumahan untuk golongan miskin

PSB menjanjikan RM50,000 untuk setiap isi rumah miskin membina rumah panjang/rumah baru atau RM20,000 bagi membaiki kediaman sedia ada.

Pembiayaan bersama untuk pembeli rumah kali pertama

PSB berjanji untuk membiayai bersama pinjaman perumahan, sehingga RM200,000, untuk pembeli rumah kali pertama.

Insentif penggajian

Majikan akan ditawarkan insentif RM6,000 setahun untuk menggaji rakyat Sarawak.

Pemberian wang tunai

Bantuan penjagaan kanak-kanak RM200 sebulan untuk setiap kanak-kanak di bawah umur 3 tahun.

RM300 sebulan untuk setiap kanak-kanak berumur antara 3 hingga 5 tahun.

RM500 sebulan untuk setiap kanak-kanak di atas 5 tahun tetapi di bawah 18 tahun.

Iktiraf anak-anak dari perkahwinan campur

Anak-anak hasil perkahwinan campur antara Orang Asal dan bukan Orang Asal akan diiktiraf sebagai Orang Asal.

Sarawak sebagai 'negeri model sekular'

PSB mahu menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Agama bagi memastikan kebebasan beragama diamalkan di Sarawak.

Ia juga berjanji untuk memastikan pembiayaan awam bagi semua agama yang diiktiraf di negeri ini.

Parti itu juga berjanji memisahkan undang-undang syariah daripada sistem perundangan sivil.

 

Lihat Komen
ADS