Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Najib: Hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta ditangguhkan
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan setelah mengekalkan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Hakim berkata sabitan kes turut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Abdul Karim berkata, syarat penangguhan hukuman sama seperti diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah Najib Razak dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketiga-tiga hakim juga sependapat untuk mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri tersebut.

Panel tiga hakim juga sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

ADS