Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jika setiap bendera ditukar jadi makanan, tiada yang kelaparan'

PRN SARAWAK | DAP di kawasan tengah Sarawak hanya akan menyertai “perang bendera” secara sederhana demi menjimatkan dana.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong hari ini berkata, partinya akan menumpukan dana mereka untuk membantu orang ramai.

“Satu penghinaan bila memikirkan ramai yang hilang kerja akibat wabak Covid-19, tetapi di sekitar bandar setiap parti terlibat dengan perang bendera.

“Jika setiap bendera ditukar kepada makanan, tiada siapa di Sibu akan kelaparan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Penyandang kerusi DUN Pelawan itu berkata, DAP memastikan setiap wakil rakyatnya untuk menyumbang 20 peratus gaji mereka untuk membantu orang awam.

Dia juga berkata pejabatnya telah memberikan bantuan makanan kepada orang ramai selama 18 bulan.

“Kita gunakan sumber kita kepada rakyat, bukan bendera. Rakyat boleh lihat hal ini.

“Ada orang beritahu saya yang semua bendera di luar sana mengingatkan mereka kepada pesta Hantu Lapar,” selorohnya.

Di Pelawan, Wong akan berdepan empat calon iaitu daripada komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Sarawak Bersatu dan Parti Bumi Kenyalang.

Keputusan untuk mengehadkan jumlah bendera ini dilihat untuk DAP di kawasan tengah sahaja. Bendera dan papan iklan DAP dapat dilihat dengan banyak di Kuching, yang terletak di bahagian selatan.

Lihat Komen
ADS