Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang Jo kecewa Bersatu langgar janji tak bertanding
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 9:55 AM
Dikemaskini: 8:52 AM

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg meluahkan rasa kecewa terhadap wakil rakyat Krian, Ali Biju dan tiga lagi ahli Bersatu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata ia jelas bertentangan dengan janji yang dibuat parti itu untuk tidak bertanding pada PRN berkenaan.

“Sudah tentu saya kecewa. Terdapat persetujuan bahawa tiada (ahli) Bersatu akan bertanding dalam pilihan raya ini,” katanya pada sidang media semalam, menurut laporan The Star.

Abang Johari, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), memberi isyarat bahawa dia mengharapkan Bersatu akan mengambil tindakan terhadap ahlinya yang melanggar janji.

Ali memenangi pilihan raya sebelum ini atas tiket tiket PKR tetapi bertukar haluan semasa krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Mereka yang lain yang akan bertanding sebagai calon Bebas bagi menentang GPS adalah ketua Bersatu Hulu Rajang, Siki Balarik (Belaga), ketua Bersatu Kota Samarahan, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan).

Abang Johari sendiri akan bertanding di kerusi Gedong, di mana dia akan dicabar oleh Mohamad Sofian Fariz Sharbini dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kamal Bujang dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Tomson Ango dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Seramai 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi pada 18 Dis. Pengundian awal dijalankan pada 14 Dis.

Buat pertama kalinya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai pilihan raya sepenuhnya sebagai sebuah gabungan.

Empat parti komponennya - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) - keluar daripada BN pada 2018.

Lihat Komen
ADS