Juwairiya mohon maaf isu papan tanda PKR tulisan Bangladesh
Ketua PKR Kuala Selangor Juwairiya Zulkifli memohon maaf kerana beberapa papan tanda ranting parti itu sekitar Kuala Selangor menggunakan tulisan Bangladesh, di samping bahasa kebangsaan.
Juwairiya berkata terdapat kesilapan dalam cetakan papan tanda tersebut.
"Saya merasa kesal di atas isu kesilapan cetakan bahasa pada papan tanda ranting cabang Kuala Selangor yang telah dipasang di beberapa lokasi.
"Tindakan segera pembetulan sedang dijalankan.
"(PKR) cabang Kuala Selangor memohon maaf di atas kesilapan yang tidak seharusnya berlaku berkaitan dengan isu ini," kata yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu.

Beberapa gambar beredar di media sosial menunjukkan penggunaan bahasa Melayu dan Benggali yang merupakan bahasa rasmi negara Bangladesh.
Ia mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati, termasuk di kalangan ahli parti tersebut.
Sementara itu, terdapat juga beberapa papan tanda lain menggunakan bahasa Melayu, Cina dan Arab. Bagaimanapun, tiada bahasa Tamil dipaparkan.
Semakan Malaysiakini pula mendapati bahasa Cina yang diguna itu tidak masuk akal susunannya, dan dipercayai diperolehi melalui kemudahan Google Translate.
Dalam kenyataan hari ini, Juwairiya berkata PKR Kuala Selangor sentiasa mengangkat prinsip keadilan dan kepedulian untuk seluruh rakyat serta menghormati kepelbagaian bangsa dan agama.






