Petronas temui minyak dan gas di pantai Johor
Syarikat petroleum negara, Petronas dipercayai menemui kawasan lapangan minyak dan gas pertamanya di perairan Johor, demikian menurut sumber-sumber yang dipercayai.
Syarikat petroleum negara, Petronas dipercayai menemui kawasan lapangan minyak dan gas pertamanya di perairan Johor, demikian menurut sumber-sumber yang dipercayai.
Bernama memetik sumber-sumber itu sebagai berkata, ia ditemui di suatu kawasan perairan di pantai timur Johor.
Malah, sumber-sumber itu berkata Petronas juga telah mengadakan taklimat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman baru-baru ini mengenai penemuan lapangan minyak dan gas itu.
Abdul Ghani pula dikatakan telah memaklumkan secara tidak rasmi mengenai penemuan itu dalam satu majlis hari raya anjuran Umno Bahagian Pengerang, minggu lalu, katanya.
"Ia (kawasan perairan di mana minyak dan gas ditemui) dipercayai seluas lebih 1,000 hektar. Mengikut kajian, simpanan minyak dan gas dari lapangan itu dipercayai "amat besar"," kata sumber-sumber itu kepada Bernama.
Keseluruhan keluasan kawasan lapangan minyak dan gas yang ditemui oleh syarikat petroleum negara itu, katanya, terbahagi antara kawasan perairan yang terletak di bawah bidangkuasa kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
"Keseluruhan kawasan itu terletak di dalam Malaysia. Ia tidak membabitkan kawasan perairan Indonesia atau Singapura, jadi tidak timbul isu pertindihan pemilikan terhadap kawasan lapangan minyak dan gas itu. Ia milik kita," kata sumber-sumber itu.
Kajian geologi
Penemuan itu, kata sumber-sumber itu, menyusul melakukan suatu kajian geologi yang komprehensif oleh Petronas di kawasan perairan terbabit.
"Johor akan menerima kesan yang positif dari penemuan itu, antaranya bayaran royalti, limpahan ekonomi seperti kewujudan industri berasaskan minyak dan gas serta pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.
Selain itu, tambahnya, itu dengan penemuan berharga itu, harga tanah di kawasan berkenaan dijangka akan melambung tinggi mencecah lebih RM200,000 bagi setiap 0.4 hektar.
Harga tanah akan terus naik dan mungkin mencecah RM1 juta tidak lama lagi, katanya.
Sementara itu Abdul Ghani ketika dihubungi menafikan memaklumkan penemuan itu pada majlis tersebut.
Katanya, apa yang dimaksud dalam ucapannya di majlis tersebut ialah industri fabrikasi pelantar minyak seperti yang terdapat di Teluk Ramunia yang semakin maju dan ia membolehkan negara mencari gali minyak di laut yang lebih dalam.
Sementara itu, Petronas ketika dihubungi menyatakan ia tidak mempunyai sebarang projek di sana.

