Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 pada majlis sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Lim menyifatkan pelanggaran SOP pada majlis itu sebagai memalukan dan meminta menteri bertanggungjawab meletakkan jawatan.

“Menteri yang bertanggungjawab untuk program itu perlu diwajibkan meletakkan jawatan dan Perdana Menteri Ismail Sabri harus mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia kerana pelanggaran SOP Covid-19 yang memalukan pada majlis itu.

“Jika perdana menteri tidak bangkit dalam memerangi wabak Covid-19, bagaimana kabinet boleh bangkit memerangi pandemik Covid-19?

“Dan lagi, Ismail Sabri boleh beri markah 90 peratus untuk prestasi 100 hari kabinetnya, menjadikan Malaysia sasaran baru jenaka dan penghinaan di mata dunia,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai secara sinis mempersoalkan apakah Petunjuk Prestasi Utama (KPI)100 hari pentadbiran kerajaan adalah bagi meningkatkan jumlah kes Covid-19.

Koh kesal apabila kerajaan dilihat terlalu mencari publisiti pada acara itu walaupun negara berdepan kebimbangan penyebaran varian Delta dan Omicron.

Acara selama empat hari yang berlangsung di KLCC itu bermula pada 9 Dis.

Ketika berucap merasmikan program berkenaan, Ismail berkata prestasi keseluruhan jemaah menteri mencapai kejayaan sekitar 90 peratus.

Khidmat pesanan ringkas turut dihantar kepada orang ramai untuk meminta mereka hadir bagi memeriahkan acara berkenaan.

Susulan itu Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap penganjur program kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Karnival itu dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama atau Sepadu yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

'Kompaun terlalu ringan'

Lim menyifatkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap penganjur terlalu ringan.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan jumlah kompaun berkenaan adalah nilai maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Adalah kemuncak kegilaan untuk mengenakan denda 'ciput' sebanyak RM1,000 bagi pelanggaran besar-besaran SOP Covid-19 pada program 100 hari itu," kata Lim.

Sebelum ini, denda maksimum dikenakan sebanyak RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat di bawah Ordinan Darurat.

Bagaimanapun, selepas Ordinan Darurat ditarik balik, jumlah denda yang tinggi berkenaan telah dimansuhkan.

Lim berkata, kurangnya kesungguhan kerajaan merupakan sebab mengapa Malaysia masih bergelut untuk mengurangkan kes harian Covid-19 di bawah 4,000 sehari dalam tempoh tujuh bulan lalu.

Sebaliknya, Lim merujuk kejayaan Indonesia yang berjaya menurunkan kes harian Covid-19 kepada tiga angka sejak 15 Okt.

Pengkritik turut mengecam tindakan "dwistandard" kerajaan terhadap penganjur acara berkenaan.