Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula Al-Arqam, menafikan dakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bahawa empat 'syeikh' yang ditangkap dalam serbuan ke sebuah rumah kedai di Shah Alam Sabtu lalu adalah pemimpin Rufaqa.

"Saya percaya ada pihak lain yang menyamar sebagai ahli Rufaqa untuk memburuk-burukkan syarikat ini," katanya Timbalan Pengarahnya, Laila Ahmad (kiri).

Syarikat itu dipengerusikan oleh bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang menguasai 75 peratus ekuiti syarikat itu.

Laila yang juga menantu Ashaari berkata: "Ada ahli kami nampak mereka sebelum itu bercakap dengan lelaki yang ada dalam sebuah kenderaan yang bertulis Kerajaan Negeri Selangor.

"Tidak mungkin ahli kami akan berada di dalam kenderaan kerajaan Selangor?" persoal beliau.

Ekoran itu, Laila berkata, pihaknya tidak mengenali atau tahu menahu mengenai empat syeikh yang ditahan oleh Jais itu.

Laila juga menafikan dakwaan Jais bahawa Rufaqa menjadi pusat penyebaran semula ajaran sesat Al-Arqam dan terbabit dalam kegiatan yang menyeleweng dari ajaran Islam.

'Usaha burukkan Rufaqa'

Sebaliknya, beliau mendakwa ada pihak tertentu cuba memburuk-burukkan syarikat tersebut yang kini berjaya bangkit sebagai sebuah organisasi perniagaan yang berjaya.

Katanya, penubuhan Rufaqa adalah untuk menggerakkan ekonomi umat Islam melalui bidang perniagaan dan tidak ada kena mengena dengan Al-Arqam.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ramai bekas ahli Al-Arqam menyertai Rufaqa yang menurutnya hanya terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan seperti pengedaran makanan, klinik, tadika dan restoran.

"Tidak semestinya apabila ramai bekas ahli-ahli Al-Arqam menyertai Rufaqa, itu bermakna kami mahu menghidupkan semula Al-Arqam.

"Rufaqa tidak terbabit dengan politik atau benda lain sebaliknya sebuah syarikat perniagaan milik orang Islam," jelasnya ketika ditemui malaysikini di pusat pertubuhan itu di Country Homes, Rawang.

Selain di bandar Country Homes, Rufaqa mempunyai cawangan hampir di semua negeri dengan lebih 500 pekerja. Syarikat itu juga mempunyai cawangan di Indonesia di mana ia memiliki kilang pakaian.

Ashaari sakit

Beliau juga mempersoalkan apakah motif sebenar pihak berkuasa agama memburuk-burukkan Rufaqa, termasuk melabelnya sebagai sesat.

Beliau juga menafikan tuduhan yang mengatakan bapa mertuanya itu mahu menghidupkan semual kumpulan Al-Arqam.

"Ashaari (kanan) sendiri gembira Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan. Malah beliau sedang sakit sekarang, (jadi) bagaimana mahu menghidupkan semula kumpulan yang telah diharamkan itu.

"Ashaari sendiri telah menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa beliau tidak akan menghidupkan Al-Arqam. Beliau kini berehat sahaja di Nilai, Negeri Sembilan. Kalau betul Ashaari cuba menghidupkan semula Al-Arqam, tentu pihak Jais atau Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan telah menahan beliau," tambahnya.

Laila juga menolak dakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengatakan empat `syeikh' yang ditangkap dalam serbuan sebuah rumah kedai di Shah Alam pada Ahad lalu adalah pemimpin-pemimpin Rufaqa.

Beliau turut membidas pihak berkuasa agama negeri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana membuat andaian melulu.

'Lihat sendiri aktiviti kami'

"Pihak berkuasa agama seperti Jais dan Jakim tidak pernah datang ke perkampungan ini untuk melihat sendiri akltiviti Rufaqa.

"Jadi bagaimana boleh menuduh Rufaqa ajaran sesat. Bagi kami tuduhan tersebut tidak benar. Tunjukkan bukti di mana kami sesat?" tanya lagi.

Menurut Laila, hanya Selasa lalu Jais menemui seorang pegawainya, Zamri Azhar untuk diambil keterangan berhubung insiden di Shah Alam itu.

Menantu Ashaari itu juga memberitahu, buat masa ini Rufaqa akan mengambil sikap "tunggu dan lihat" sebelum memutuskan tindakan selanjutnya terhadap pihak-pihak yang melabelnya sebagai ajaran sesat.

"Ashaari lebih suka kepada pendekatan memberi penjelasan dan bukannya berkonfrontasi dengan mereka," katanya lagi.

Ekoran kontroversi ini, beberapa hari lalu ahli exco kerajaan Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil meminta Jais mengeluarkan fatwa mengharamkan Rufaqa.