Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis lanjut tawaran diskaun bayar saman sampai 31 Dis
Diterbitkan:  Dec 12, 2021 5:16 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran diskaun pembayaran saman sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini kerana PDRM menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap tawaran diskaun saman berkenaan.

Beliau berkata kaunter-kaunter trafik di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri turut dibuka secara serentak dengan tawaran diskaun saman yang sama.

"Sebelum ini, kaunter trafik PDRM di KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) terpaksa ditutup kerana kepadatan orang awam bayar saman.

"Perkara ini memberi cabaran besar kepada PDRM untuk mengawal selia orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan penjarakan fizikal pengunjung dipatuhi," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan mesra di gerai-gerai pameran kementerian dan agensi sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, di Kuala Lumpur.

Acryl Sani berkata pelanjutan tawaran berkenaan adalah untuk memberi masa supaya orang ramai tidak bersesak di kaunter-kaunter trafik seluruh negara.

Beliau berkata PDRM menerima laporan bahawa aplikasi bayar saman mengalami kesesakan capaian sehingga ia tidak dapat diakses oleh orang ramai.

"Oleh yang demikian, saya akan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (Datuk Mat Kasim Karim) untuk mempertimbangkan dengan menambah bilangan kaunter setiap IPD (Ibu pejabat Polis Daerah)dan IPK (Ibu pejabat Polis Kontinjen) seluruh negara.

"Saya akan melihat kemungkinan di daerah-daerah berkenaan jika berlaku kesesakan orang ramai untuk menambah bilangan kaunter," katanya.

Selain itu, Acryl Sani mendedahkan hampir 2.3 juta saman trafik di seluruh negara diselesaikan dengan jumlah kutipan saman sebanyak RM109 juta setakat 12 tengah hari tadi.

Pada Jumaat lepas, kaunter bayaran saman di KLCC terpaksa ditutup serta-merta kerana sesak berikutan kehadiran ramai orang yang ingin membayar saman.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hazani Ghazali Bukit Aman serta Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS