Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keretakan Muafakat Nasional: Kritikan terhadap individu, bukan Umno - Hadi
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 8:47 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kenyataannya mengenai Umno melanggar piagam Muafakat Nasional bukan ditujukan kepada parti itu secara keseluruhan, tetapi kepada individu tertentu.

Abdul Hadi berkata piagam Muafakat Nasional bertujuan menyatukan orang Melayu dan Islam dan justeru ia mesti melibatkan Bersatu.

Umno sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, yang merupakan parti serpihannya.

"Saya tak kata Umno, saya kata ada orang-orang yang langgar. Bukan Umno. Bukan atas nama parti Umno.

"Majlis tertinggi Umno bukan seorang (individu). Majlis tertinggi (dianggotai) ramai. Umno ini secara kolektif dan bukan bergerak di atas individu," katanya ketika sidang media selepas program bersama guru agama di Kuala Nerus, Terengganu, semalam.

Ditanya berkenaan pihak dalam Umno yang dimaksudkannya, Hadi enggan mendedahkannya.

"Saya tak tuduh pada siapa. Saya tembak lawan gelap. Kalau kena, kenalah," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut ditanya sama ada hubungannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini dingin.

Abdul Hadi menegaskan bahawa hubungan mereka kekal mesra, membangkitkan tempat duduknya yang berdekatan dengan Ahmad Zahid di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Muafakat Nasional masih hidup.

Dia berkata PAS akan menunggu langkah yang diputuskan Umno tahun depan sebelum membuat sebarang keputusan.

Umno dijangka mengadakan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan parti pada akhir 2022.

Sebelum ini Zahid mencadangkang agar Umno dan BN untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya umum akan datang.

Umno terbuka untuk bekerjasama dengan PAS dengan syarat PAS tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu. PAS pula dilihat cenderung untuk meneruskan kerjasama itu.

Lihat Komen
ADS