Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang Jo ingatkan isu UEC, mahu pengundi Sibu seia sekata

PRN SARAWAK | Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Abang Openg hari ini mengingatkan pengundi Cina mengenai komitmen gabungan itu untuk memastikan pendidikan Cina berkembang maju di Sarawak.

Abang Johari menegaskan masyarakat Sarawak adalah unik dan kerajaan negeri pada masa lalu menyokong sistem pendidikan Cina melalui pembiayaan kerajaan, yang kini berjumlah RM10 juta setiap tahun.

“Saudara Cina kita yang sangat menitikberatkan pendidikan dibenarkan mendirikan sekolah sendiri dan mempromosikan pendidikan Cina.

“Ramai bukan Cina menghantar anak mereka ke sekolah Cina termasuk anak saudara saya kerana mereka tahu kualiti pendidikan Cina adalah tinggi,” kata Abang Johari.

Dia berkata kerajaan Sarawak mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) sejak pentadbiran Adenan Satem untuk mereka diterima bekerja dalam sektor perkhidmatan awam.

"Anda tidak akan dapati perkara ini berlaku di mana-mana di dunia, malah di Semenanjung Malaysia kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf UEC, walaupun ketika kerajaan Pakatan Harapan berkata ia mahu mengiktirafnya.

"Memang rugi dalam modal sumber manusia kita jika kita tidak mengiktiraf UEC. Lulusan UEC akhirnya akan bekerja dan menyumbang kepada negara lain," kata Abang Johari.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Foochow Association Park dan bangunan sekolah baru SJK(C) Dung San di Hotel Kingwood di Sibu hari ini.

Dia menggesa pengundi Sibu termasuk kaum Cina yang merupakan majoriti di beberapa kawasan pilihan raya, seia-sekata bagi membolehkan Sibu memperoleh "status bandar raya".

Abang Johari, berkata pengundi Sibu sebelum ini secara konsisten mengundi calon daripada parti pembangkang.

Lihat Komen
ADS