mk-logo
Berita
RM136,000 sebulan, Ismail Sabri bayar penasihat paling besar sejak era Najib
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 7:02 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

PARLIMEN | Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berbelanja paling besar untuk mengambil penasihat khas sejak era Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad berkata pada masa ini, kerajaan Ismail Sabri telah mengambil seramai lima penasihat khas dengan menelan belanja RM136,136 sebulan.

Abd Latiff berkata demikian berdasarkan jawapan parlimen kepada Ahli Parlimen Alor Setar PKR Chan Ming Kai yang meminta senarai semua penasihat khas yang diupah oleh kerajaan pada masa lalu dan kini.

Penasihat khas semasa ialah Abdul Hadi Awang (Duta Khas ke Timur Tengah), Tiong King Sing (Duta Khas ke China), Richard Riot (Duta Khas ke Jepun, Korea dan Taiwan), S Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan) dan Azalina Othman Said (penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia).

Mereka diupah antara Ogos dan Oktober dan masing-masing dibayar RM27,227.20 sebulan.

Sekiranya mereka berkhidmat selama dua tahun penuh, mereka dijangka membelanjakan wang pembayar cukai berjumlah RM3.267 juta.

Kos RM136,136 sebulan adalah lebih tinggi daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang mentadbir sebelum Ismail Sabri.

Muhyiddin juga mempunyai empat orang penasihat dengan gaji RM27,227.20 sebulan, kecuali Dr Jemilah Mahmood (penasihat khas kesihatan awam) yang diberi gaji RM18,204.67.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM99,886.27 sebulan.

Menjelang penghujung tempoh perkhidmatan Muhyiddin, presiden Bersatu itu turut melantik timbalan partinya Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas dengan gaji RM27,227.20 yang menjadikan kos keseluruhan sebanyak 127,113.47.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal hanya berkhidmat dalam jawatan itu selama 22 hari berikutan kejatuhan kerajaan Muhyiddin pada Ogos.

Semasa Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, dia mempunyai empat orang penasihat.

Mereka ialah Daim Zainuddin yang tidak mengambil gaji, Abdul Kadir Jasin yang menerima RM9,038 sebulan, Tan Kok Wai yang dibayar RM18,204.67 sebulan dan Muhammed Abdul Khalid yang diberi RM19,610.33 sebulan.

Kos keseluruhan sebanyak RM46.853 sebulan.

Pemegang rekod ialah Najib Razak yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam dari 2009 ke 2018.

Dia mempunyai seramai 16 orang penasihat. Jumlah yang besar itu sebahagiannya disebabkan oleh tempoh perkhidmatannya yang panjang selama sembilan tahun.

Mereka berkhidmat pada tempoh berbeza tetapi ketika kemuncaknya pada 2018, Najib mempunyai seramai 10 penasihat khas aktif yang menerima gaji keseluruhan RM244,791.65 sebulan.

Terdapat juga tiga orang penasihat yang tidak mengambil gaji.

Sebelum itu, kerajaan Abdullah Ahmad Badawi yang berkhidmat sejak 2003 hingga 2009 hanya mempunyai seorang penasihat khas, dengan gaji bulanan RM17,820.

Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat, dia hanya mempunyai seorang penasihat khas pada satu-satu masa, juga dengan gaji RM17,820.

Seorang telah diupah antara 1982 dan 1989 manakala seorang lagi diupah antara 2001 dan 2003.

 

Lihat Komen
ADS