Pengiraan ekuiti bumi: Kita tidak terlibat, kata Bank Dunia
eksklusif Bank Dunia menafikan sebarang pembabitan dalam keputusan kerajaan Malaysia untuk menggunakan nilai tara bagi mengira ekuiti pemilikan kaum di negara ini yang hebat diperdebatkan kebelakangan ini.
eksklusif Bank Dunia menafikan sebarang pembabitan dalam keputusan kerajaan Malaysia untuk menggunakan nilai tara bagi mengira ekuiti pemilikan kaum di negara ini yang hebat diperdebatkan kebelakangan ini.
"Metodologi mengira pemilikan ekuiti kaum di negara ini, yang menggunakan perkiraan nilai tara, dipilihguna sendiri oleh kerajaan Malaysia," kata seorang jurucakap Bank Dunia dalam jawapannya kepada malaysiakini melalui emel.
Bank itu berkata, ia menerima data yang disediakan oleh kerajaan Malaysia, walaupun dengan menggunakan perkiraan nilai tara, kerana ia dianggap sebagai data rasmi.
Jurucakap itu berkata: "Kaedah (perkiraan mengikut nilai tara) telah digunakan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.
"Angka itu juga telah diterbit secara meluas dan diterimapakai sebagai data rasmi mengenai pemilikan ekuti oleh pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk Bank Dunia," katanya.
Jurucakap itu bagaimanapun enggan menjawab soalan lain sama ada pengiraan mengikut nilai tara itu sesuai bagi mengira pemilikan ekuiti.
Menurut para pakar ekonomi, kiraan mengikut nilai tara adalah ukuran lebih tepat mengenai pemilikan ekuiti.
Bagi menepis kritikan hebat terhadap kaedah pengiraan tersebut, para pemimpin mendakwa, kaedah yang digunakan oleh kerajaan itu disahkan oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Bank Dunia.
Pada 7 November lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata adalah silap untuk mengatakan bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan itu tidak betul, kerana ia disediakan dengan nasihat Bank Dunia dan pakar-pakar antarabangsa.
Pada hari yang sama, Dr Awang Adek mengumumkan di Parlimen bahawa pemilikan saham bumiputera adalah 36.64 peratus tahun lalu (melebihi sasaran 30 peratus dalam pemilikan ekuiti bumiputera di bawah DEB).
Bagaimanapun, kira-kira enam hari kemudiannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi mengatakan angka tersebut tidak tepat.
Dalam kenyataannya, Effendi juga berkata, kaedah pengiraannya digunakan sejak DEB diperkenalkan pada 1970 dan ianya turut diiktiraf oleh badan kewangan antarabangsa, seperti Bank Negara, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Pembangunan Asia.
'Bukan amalam rasmi'
Bekas pakar ekonomi Bank Negara, Dr Lim Teck Ghee mempersoalkan kenyataan Effendi itu, kerana menurutnya, bukan amalan Bank Dunia dan agensi pembangunan antarabangsa yang lain lain untuk mengesahkan metodologi yang digunakan oleh mana-mana negara.
Sebelum ini, Dr Lim telah mencetus perdebatan hangat mengenai pencapaian sasaran DEB apabila Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) dalam laporannya yang diterbitkan Februari lalu berkata, ekuiti bumiputera telahpun mencapai 45 peratus.
Sehubungan itu, para pemimpin Umno mengecam hebat hasil kajian serta kaedah yang digunakan oleh Asli itu, apabila malaysiakini menyiarkan hasil laporan itu September lalu.
Dr Lim yang mempertahankan hasil kajiannya itu telah meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam di Asli, selepas institut itu menarik balik hasil laporan tersebut.
Dalam satu lagi kajian penyelidik dari Universiti Malaya, Dr M Fazilah Abdul Samad pula merumuskan bahawa ekuiti bumiputera adalah 33.7 peratus pada 1997.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan pencapaian keseluruhan ekuiti bumiputera adalah pada tahap 18.9 peratus tahun lalu, tetapi para pengkritik mendakwa angka itu direndahkan sebagai menjustifikasi langkah meneruskan DEB yang memberi keistimewaan kepada bumiputera.
DEB dilaksanakan pada 1970 sebagai sebahagian daripada rangka bertindak untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kaum. Pelaksanaannya adalah untuk tempoh 20 tahun, tetapi diteruskan selepas 1990 di bawah nama lain Dasar Pembangunan Baru.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang diumumkan Mac lalu, kerajaan berkata, strategi DEB akan dikekalkan untuk tempoh 15 tahun sehingg 2020. Berita asal

