Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sekarang bukan masa kenakan semula caj ATM RM1'
Diterbitkan:  Dec 15, 2021 6:40 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan untuk mengenakan bayaran RM1 bagi transaksi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Saifuddin berkata keputusan mengenakan semula caj RM1 bermula 1 Februari 2022 merupakan langkah yang sangat salah dan tidak disenangi rakyat.

"Dari segi teknikalnya, seluruh negara tahu bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik dan siri PKP (perintah kawalan pergerakan) dilaksana,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

CIMB pula, katanya, menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion keuntungan bersih kepada RM2.62 bilion (suku kedua 2021) berbanding RM785 juta (suku kedua 2020).

“Ini bermaksud kebanyakan jika bukan kesemua bank komersial menyaksikan keuntungan sihat tahun ini,” katanya.

Saifuddin Nasution

Saifuddin berkata bank sering kali meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi yang lain.

"Saya juga berpandangan terdapat cara-cara bagi memastikan pihak bank masih dapat menampung kos dalam hal transaksi ATM yang dimaksudkan ini, yang juga sudah pasti dalam pengetahuan menteri kewangan yang dahulunya juga seorang pegawai atasan bank komersial," katanya.

Dia berkata demikian susulan pengumuman oleh beberapa bank hari ini untuk mengenakan semula caj RM1 bermula 1 Feb tahun depan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM atau mesin layan diri daripada bukan bank yang sama.

Lihat Komen
ADS