Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional pimpinan Bersatu perlu bersatu menentang BN dalam pilihan raya umum akan datang, kata bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron.

Bekas pemimpin Umno yang kini bersama PKR itu percaya PH memerlukan "wow factor" untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Kena ada satu wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.

"Jadi saya melihat wow faktor tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif minggu lalu.

Idris dipecat daripada Umno pada Oktober lepas selepas dia dan tiga lagi Adun di Melaka menarik balik sokongan mereka terhadap ketua menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali.

Percubaan rampasan kuasa itu bagaimanapun gagal apabila Sulaiman menasihati Yang Dipertua Negeri Melaka untuk membubarkan dewan undangan negeri, yang menyebabkan pilihan raya mengejut.

Idris kemudian bertanding dalam pilihan raya atas tiket PKR, tetapi gagal dalam usahanya menawan semula kerusi DUN Asahan. Pilihan raya itu menyaksikan kemenangan besar Umno manakala PH hilang banyak kerusi yang dimenanginya pada 2018. 

Di dalam PH, PKR mencatatkan prestasi paling buruk apabila tidak memenangi sebarang kerusi.

Menurut Idris, kekalahan PH di Melaka adalah disebabkan perpecahan undi antara PH dan PN.

Katanya, ia juga disebabkan beberapa faktor lain termasuk peratusan keluar mengundi yang rendah dan PH hilang sokongan daripada pengundi Melayu di beberapa kerusi.

"Saya tetap katakan kekalahan PH dalam PRN Melaka ini sebab perpecahan PH dan PN tu sendiri.

"Saya kata ralat sebab kita tak sempat suarakan, memandangkan BN sungguh-sungguh tolak PN dalam kerjasama PRN tempoh hari. Cuma tak ada tawaran dari PH (untuk kerjasama dengan PN).

"Mungkin kalau itu berlaku senarionya berbeza,” katanya.

Bersatu merupakan bekas parti komponen PH bersama PKR, DAP dan Amanah. Ketika bersama dalam satu gabungan, PH menewaskan BN buat julung-julung kalinya pada PRU 2018.

Selain kerajaan persekutuan, banyak negeri turut tumbang kepada PH termasuk di Melaka apabila ia memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, rampasan kuasa politik awal tahun lalu menyaksikan Bersatu berpisah daripada PH dan menyaksikan kerajaan PH tumbang. Bersatu kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan beberapa parti lain untuk membentuk PN.

Jangan terbawa-bawa sentimen

Idris, yang membina karier politik selama 31 tahun dalam Umno berkata PH tidak harus terlalu bergantung kepada sentimen dan isu panas untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, pakatan pembangkang masih mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRU15, namun menegaskan ia hanya akan berlaku dengan strategi yang betul dan kerja keras.

"Dengan sekarang ni isu DNB dan sebagainya. Isu 1MDB belum nak habis, isu DNB pula dah keluar. Ini semua, dengan kenaikan harga barang dan sebagainya nampak lebih memihak kepada rakyat dan PH.

"Tapi PH perlu ada satu strategi yang betul, struktur yang mantap, organisasi yang menyelusup ke akar umnbi untuk menjadi pilihan rakyat pada PRU akan datang. Banyak kerja perlu dilakukan.

Menurut Idris, dia telah membawa isu rakyat dalam kempennya di kerusi DUN itu termasuk isu perlombongan pasir dan menawarkan geran kekal kepada peneroka Felda, namun tetap tidak mendapat sokongan.

"Sentimen tak mudah ditelan rakyat hari ni.

"Kalau sentimen di Melaka mudah ditelan rakyat, contoh saya bawa isu pasir di Asahan, geran kekal Felda, tapi semua tu 'tak dihadap' pengundi dan saya tak dapat sokongan,.

"Jangan terlampau ambil kira sentimen sampai lupa gerak kerja lebih besar sebab dialpakan dengan isu pasir, diskriminasi, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya kita kalah dalam PRU," katanya.

Banyak ruang penambahbaikan

Diminta membandingkan antara BN dan PH dari segi persiapan pilihan raya, Idris memberitahu Malaysiakini bahawa dia percaya bahawa masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam gabungan pembangkang itu.

Katanya, walaupun PH mempunyai ramai ahli parti yang bersemangat tinggi, namun mereka ketinggalan di belakang BN dari segi susunan struktur.

“Saya telah menyebut perkara ini dalam banyak forum, bahawa jika nak lihat sebuah parti politik tersusun di Malaysia, setiap inci tanah ini diliputi Umno dan BN.

"Maknanya kalau kita pergi ke seluruh Malaysia ni, kita dapati seluruh pelusuk negara diliputi Umno," katanya.

Jelasnya, Umno misalnya mempunyai lebih 450 cawangan di Melaka dan mempunyai organisasi yang selaras.

“Jadi apa yang berlaku adalah dari segi struktur organisasi dan juga sistem kerja, memang saya dapati banyak lagi ruang untuk diperbaiki dalam PH itu sendiri.

"Ini kerana kita mempunyai pekerja-pekerja yang bersemangat untuk bekerja memenangkan calon.

"Sebab kita ada petugas parti yang sangat bersemangat untuk membantu calon kita menang. Tapi kalau pekerjaan itu sendiri tak ikut sistem yang tuntas, ia mungkin akan menzahirkan kekecewaaan," katanya.

Dalam pada itu Idris turut menyatakan kesediaannya untuk membantu PKR dan PH melalui pengalamannya dalam politik.

Bagaimanapun, menurut bekas Adun Sungai Udang itu, dia belum bersedia untuk memegang sebarang jawatan parti, walaupun ditawarkan beberapa bahagian PKR.

"Sebagai budak baru, walau kita berpengalaman dalam parti lain, kita tak boleh tiba-tiba duduk di satu tempat yang semua orang nak duduk situ.

"Banyak tempat tawarkan, tapi saya kata nantilah dulu.

“Ada tawaran, tetapi saya sudah beritahu mereka belum sampai masanya. Saya tidak begitu berminat untuk pegang jawatan di akar umbi, sebab saya percaya mereka dah mantap.

Lihat Komen
ADS