Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya terkejut Guan Eng minta keuntungan 10 peratus - Saksi

Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberi keterangan bahawa dirinya "terkejut" apabila Lim Guan Eng didakwa meminta 10 peratus keuntungan daripada projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Semasa perbicaraan hari ini terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu, saksi pendakwaan ke-22 Zarul mendakwa tertuduh meminta demikian daripadanya ketika mereka berdua berada di dalam kereta di Kuala Lumpur pada malam Mac 2011.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Zarul mendakwa awal malam itu, dia telah memberi persetujuan kepada Lim berhubung MOU (Memorandum Persefahaman), bagi membolehkan tertuduh memberikan Projek Terowong Dasar Laut kepada syarikatnya secara rundingan terus.

Saksi itu mendakwa semasa berada di dalam kereta, Lim kononnya meminta daripadanya sebanyak 10 peratus keuntungan masa depan bagi projek RM6.3 bilion Pulau Pinang itu.

Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut.

“Selepas itu, YB Lim Guan Eng ada meminta saya untuk memberikannya 10 peratus daripada keuntungan projek itu kelak kepadanya.

“Ketika itu saya agak terkejut kerana perkara itu keluar dari mulut YB Lim Guan Eng dan saya berfikir sejenak tentang permintaan itu.

"(Ini) kerana saya tidak sangka ia akan keluar dari YB Lim Guan Eng yang saya ingat selama ini adalah orang yang menentang rasuah," dakwa Zarul.

Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul  sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemilik CZBUCG iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

CZBUCG merupakan syarikat usaha sama dengan Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) yang telah dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, beliau agak terkejut apabila perkara (suapan 10 peratus) itu keluar daripada mulut Ahli Parlimen Bagan itu menyebabkan beliau berfikir sejenak tentang permintaan Lim kerana tidak menyangka ia keluar daripada mulutnya yang selama ini menentang rasuah.

“Apa yang saya faham, 10 peratus adalah wang rasuah berjumlah 10 peratus daripada harga keuntungan syarikat saya yang perlu saya memberikan kepada Lim apabila saya dianugerahkan projek itu. Kemudian saya pun bersetuju dengan permintaan tersebut.

“Lim kelihatan senyum setelah saya mengatakan akan bersetuju memberikan peratus keuntungan projek itu dan YB Lim memberitahu, beliau atau pegawai-pegawainya akan memberikan bantuan dalam memberikan apa-apa maklumat yang diperlukan untuk projek ini kepada saya,” katanya sambil menambah perbincangan itu berlaku dalam keretanya semasa beliau dan Lim dalam perjalanan ke Hotel Gardens di Mid Valley, pukul 12 malam, pada Mac 2011.

Zarul Ahmad berkata Lim memberitahunya bahawa Perdana Menteri China akan membuat lawatan ke Malaysia dan beberapa perjanjian persefahaman (MOU) akan ditandatangani dan Lim mencadangkan supaya beliau mengaturkan satu MOU antara BUCG dengan Kerajaan Pulau Pinang, yang akan disaksikan Perdana Menteri China.

Beliau berkata Lim juga memberitahunya bahawa jika beliau dapat melaksanakan majlis MOU itu, projek itu akan diberikan kepadanya secara rundingan terus.

“Ketika itu saya rasa sangat teruja. Hanya saya dan Lim yang berada dalam kereta saya itu. Saya memberikan persetujuan kepada Lim untuk menjayakan majlis MOU seperti yang dicadangkan oleh Lim. Saya merasa gembira, yakin dan percaya dengan apa yang dikatakan Lim kepada saya untuk memberikan projek yang dianggarkan bernilai RM7 billion itu,” katanya.

Saksi itu berkata pada Mei 2011, beliau telah berjumpa dengan Lim dan menuntut janji beliau untuk menganugerahkan kepada syarikatnya secara rundingan terus, namun sebaliknya Lim menyatakan beliau terpaksa memanggil tender terbuka untuk projek tersebut.

“Saya merasa kecewa kerana YB Lim telah membuat pusingan U. Tetapi beliau berjanji dengan saya ketika itu bahawa beliau akan membantu saya untuk dianugerahkan projek tersebut dengan memberi arahan kepada pegawai-pegawainya supaya memberi kerjasama penuh kepada saya dalam hal ini.

“Lim juga meminta supaya permintaan untuk cadangan (RFP) dipercepatkan dan meminta pihak BUCG membantu pegawai-pegawainya dan Datuk Lim Hock Seng (bekas Exco Pulau Pinang) dalam penyediaan RFP tersebut kelak.

“Di dalam kes ini, walaupun award telah diubah secara tender terbuka, syarikat saya telah memenangi tender tersebut dan saya amat terhutang budi dengan Lim dan Hock Seng yang banyak membantu saya serta syarikat saya di dalam membuat persediaan yang lebih awal di dalam persaingan di antara petender lain,” katanya.

Menceritakan mengenai hubungannya dengan Lim, saksi itu berkata bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah memperkenalkannya kepada Lim sekitar Januari 2011 di Hotel Shangri La.

“Ketika itu, kami bertukar-tukar nombor telefon. Saya pun mengambil kesempatan untuk menawarkan khidmat BUCG kepada Lim sekiranya ada projek infrastruktur di Pulau Pinang yang boleh saya mengambil bahagian bagi pihak BUCG dan Lim juga nampak berminat. Lim memberitahu beliau akan menghubungi saya, “ katanya dan menambah pada Februari 2011 beliau telah berjumpa Lim di pejabatnya di Komtar untuk menerima taklimat daripada beliau sendiri berkenaan pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut.

Zarul Ahmad berkata Lim menjelaskan tentang projek itu secara umum dan memberitahu projek berkenaan akan dibiayai secara pertukaran tanah, iaitu kerajaan negeri akan membuat pembiayaan menggunakan tanah dan bukan bayaran seperti pembinaan biasa.

Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Mac 2022

Lihat Komen
ADS