Tiga pembahas Umno mengadap j/kuasa pengurusan
Tiga pembahas Umno yang dianggap menyampaikan ucapan berunsur perkauman yang keterlaluan pada pehimpunan agung Umno baru-baru ini telah dipanggil "mengadap" Jawatankuasa Pengurusan Umno pada Rabu lalu.
Tiga pembahas Umno yang dianggap menyampaikan ucapan berunsur perkauman yang keterlaluan pada pehimpunan agung Umno baru-baru ini telah dipanggil "mengadap" Jawatankuasa Pengurusan Umno pada Rabu lalu.
Ketiga-tiga mereka ialah exco Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim, wakil badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Hashim Subuh dan wakil Melaka, Hasnoor Sidang Husin.
Menurut sumber, ketiga-tiga mereka telah diminta menjelaskan maksud ucapan mereka yang menyentuh sensitiviti kaum di perhimpunan berkenaan.
Majlis "mengadap" Jawatankuasa Pengurusan Umno itu berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Setiausaha Agung, Bendahari dan Setiausaha Kerja Umno.
Sumber berkenaan memberitahu, ketiga-tiga pembahas Umno itu dipanggil "mengadap" serentak untuk menjelaskan ucapan masing-masing.
"Semua mereka telah menjelaskan maksud ucapan masing-masing dan jawatankuasa berkenaan akan menilainya serta membuat keputusan dalam tempoh terdekat," katanya.
Mesyuarat MT
Kata sumber itu lagi, isu ini kemungkinan besar akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.
Semalam Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan exco Pemuda di ibu pejabar Umno mengesahkan seorang exco pergerakan itu telah dihadapkan ke Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Hashim, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis dalam ucapannya, antara lain, bertanya pada Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bila beliau mahu menggunakan keris Panca Warisan.
Menurut Hashim, ini merupakan tahun kedua Hishamuddin membawa dan menghunus kerisnya di perhimpunan agung Umno dan bertanya bilakah Ketua Pemuda itu mahu menggunakannnya.
Manakala Hasnoor Sidang Husin pula berkata, orang Melayu telah lama dicabar dan diuji dengan pelbagai tuntutan tidak munasabah dan selama ini hanya mengambil pendirian pasif tanpa bertindak balas secara agresif.
Jelasnya, beberapa isu besar seperti yang dibangkitkan oleh Lim Kim Sai mengenai status pribumi, tuntutan Suqiu, kumpulan Dong Jiao Zong, memorandum sembilan menteri bukan Islam kepada Perdana Menteri dan kes Lina Joy adalah antara rentetan yang begitu mencabar kedudukan agama Islam dan hak Melayu.
Wakil Umno Kelantan, Md Alwi Che Ahmad pula mengingatkan kaum lain supaya tidak sesekali mempertikai hak keistimewaan Melayu kerana orang Melayu sendiri tidak pernah menganggu mereka mengaut kekayaan.
Ucapan-ucapan mereka dikatakan telah menimbul kebimbangan di kalangan kaum bukan Melayu dan membangkitkan kritikan keras dari para pemimpin Cina dan India dari Barisan Nasional dan parti pembangkang.

