story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam mahu tuntut di mahkamah, perangi musnah hutan punca banjir S'gor
Diterbitkan:  Dec 22, 2021 8:42 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Peguam untuk hak alam sekitar akan membawa tuntutan ke mahkamah untuk memerangi penebangan hutan yang didakwanya menyebabkan banjir berterusan yang memusnahkan sebahagian Selangor.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal pada satu kenyataan hari ini berkata kumpulan itu berpendapat tuntutan mahkamah yang dirancang itu bertujuan memulihkan keseimbangan alam semula jadi yang hilang.

Mereka menegaskan walaupun hujan yang melanda Lembah Klang, khususnya Shah Alam, tidak pernah berlaku sebelum ini, mereka menyatakan impaknya telah diperbesarkan berkali-kali ganda oleh kerajaan Selangor yang membenarkan pembinaan taman perumahan, kondominium, pusat beli-belah dan pelbagai aktiviti lain yang memerlukan pemusnahan hutan.

"Kerajaan Selangor bersalah kerana membenarkan pembangunan sewenang-wenangnya berlaku dan tidak ragu-ragu membenarkan pemusnahan hutan kita untuk memberi laluan terhadap kegiatan sebegitu," dakwa kumpulan itu.

“Dalam hal ini, Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) berjaya diselamatkan daripada kemusnahan. Malah belum lagi habis isu itu, kerajaan Selangor telah menyatakan hasrat pula untuk memusnahkan bahagian tertentu Hutan Komuniti Shah Alam bagi tujuan pembangunan.

“Penebangan hutan yang berleluasa akan mengakibatkan banjir, tanah runtuh, dan kehilangan flora dan fauna. Oksigen yang kita sedut adalah ihsan daripada pokok-pokok ini.

“Namun begitu, kita manusia sedang memusnahkan hutan yang membolehkan kita hidup.

“Pemusnahan hutan akhirnya akan memusnahkan tamadun kita jika dibiarkan. Menyedari perkara ini, India dan China secara kolektif telah menanam lebih 300 juta pokok.

“Sebaliknya, Malaysia sedang giat memusnahkan hutan dan mendorong lebih banyak kepupusan spesies termasuk Harimau Malaya yang akan pupus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Peguam untuk hak alam sekitar akan memerangi penebangan hutan yang berleluasa dan pemusnahan flora dan fauna kita di mahkamah Malaysia dan akan berusaha untuk memulihkan keseimbangan alam yang telah hilang," kata kumpulan itu.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut tidak menyebut siapa pihak defendan atau responden yang menjadi sasaran tindakan undang-undang yang dirancang itu.

Lihat Komen
ADS