Kini nampaknya semakin jelas bahawa kepimpinan Tan Sri Dr George Chan sebagai presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) semakin hampir ke penghujungnya.

Di Kuching semalam, beliau dimaklumkan bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadapnya pada 10 Disember ini. Dan lebih pahit lagi, lawannya sebahagian besarnya pemimpin lama parti itu secara terbuka meminta beliau mengundurkan diri.

Malah, parti politik tertua di Sarawak itu kini di ambang krisis kepimpinan yang paling buruk ekoran keputusan kumpulan yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Law Hieng Ding untuk mengemukakan usul tersebut.

Tiga ketua cawangan parti Law (Meradong), Wong Soon Koh (Sibu) dan Dr Jerip Susil (Bengoh) mahu usul itu dikemukakan di sidang khas perwakilan parti itu di Kuching pada 10 Disember ini.

Dalam satu kenyataan semalam, mereka meminta sokongan para ahli parti berhubung isu tersebut, selepas menghadiri mesyuarat yang dihadiri pemimpin cawangan di Kuching pagi semalam.

Keputusan yang sukar

Kata mereka: "Dengan harti yang berat, kami terpaksa membuat keputusan untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Dr George Chan sebagai presiden kami.

"Dalam perjuangan parti, kita berhadap dengan banyak cabaran, tetapi tidak seburuk kali ini, di mana parti kalah teruk dalam pilihanraya negeri 2006."

Mesyuarat yang berlangsung di sebuah hotel di Kuching itu dihadiri pemimpin penting Supp dan ramai ketua cawangan dari seluruh Sarawak.

Sibu merupakan cawangan terbesar di antara 35 cawangan Supp dari segi keahliannya. Selain Soon Koh (seorang menteri kanan Sarawak), turut hadir ialah timbalan menteri pusat Datuk Robert Lau Hoi Chiew (kanan) dan Ahli Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King.

Kehadiran Lau dan Tiong menunjukkan sokongan padu terhadap usaha menjatuhkan Chan yang juga timbalan ketua menteri Sarawak memandangkan mereka dikenalpasti rapat dengan kumpulan perniagaan terbesar di negeri itu, Kumpulan KTS dan Kumpulan Rimbunan Hijau.

Malah, ketua cawangan Bintulu, Paul Yong, yang tewas di kerusi negeri Kidurong, turut menyokong kumpulan Law. Begitu juga Ketua Pemuda Supp Alan Sim dan Ketua Wanita Janet Lau, yang juga isteri Robert Lau.

Liabiliti politik

Yang mengejutkan ialah Dr Jerip Susil, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengoh dan pengerusi Lembaga Pemasaran Lada Malaysia, yang bersama mencadangkan usul tidak percaya terhadap Chan.

R amai ahli parti itu melihatkan hubungan rapat Chan dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai satu liabiliti politik terhadap Supp.

Sehingga ini, Chan enggan menyatakan sama ada mereka akan melepaskan jawatan presiden, tetapi penggal tiga tahunnya sebagai presiden tamat pada 2008.

Sementara itu, akhbar berbahasa Cina melaporkan hari ini, Chan menghantar surat melalui peguamnya meminta Law yang juga ahli Parlimen Sarikei dan bekas menteri pusat, memohon maaf kepadanya kerana membuat kenyataan tertentu yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini.

Law mengesahkan telah menerima surat tersebut tetapi sekali lagi menegaskan bahawa George Chan tidak jujur dengan pemimpin lain parti itu mengenai isu-isu tertentu. Berita asal