Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) cawangan Miri menyokong kepimpinan presidennya, Tan Sri Dr George Chan dan tidak mahu Persidangan Khas Perwakilan (SDC) parti itu pada 9 dan 10 Disember ini dijadikan medan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau.

Timbalan pengerusi cawangan itu, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, tidak ada sebab kenapa Chan harus berundur kerana beliau dipilih dalam persidangan perwakilan tiga tahun sekali SUPP tidak sampai setahun yang lalu.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita malam tadi selepas menghadiri satu taklimat kepada 14 ahli jawatankuasa pusat parti itu dan 78 ahli perwakilan ke SDC nanti.

Taklimat itu diadakan hanya beberapa jam selepas tiga cawangan Supp mengumumkan akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Chan. Antara cawangan yang akan berbuat demikian ialah Sibu, yang mempunyai keahlian paling banyak dan diketuai Timbalan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Wong dan dua lagi pemimpin cawangan yang terlibat, mendesak Chan berundur telah menjelaskan bahawa tindakan mereka itu diambil kerana semakin ramai ahli parti bimbang dengan kelemahan pucuk pimpinan Supp.

Perlantikan datuk bandar

Mereka juga menyebut kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya negeri yang lalu sebagai antara faktor yang mendorong mereka untuk bertindak.

Chin, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata SDC tidak sepatutnya digunakan, selain daripada yang dipersetujui sebelum ini iaitu membincangkan rancangan presiden untuk mengukuhkan kembali kedudukan parti selain mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuching Selatan.

Katanya, tidak ada pemimpin politik termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dapat menjamin parti mereka boleh menang semua kerusi dalam pilihanraya.

"George Chan telah memimpin parti mencapai kemenangan sebelum ini, sama ada kerusi parlimen atau negeri. Kami harap SDC akan berjalan dalam suasana baik dan kami minta semua anggota perwakilan supaya berlaku adil terhadap presiden parti," kata Chin.