Kerajaan Sarawak akan bersikap adil terhadap syarikat Rufaqa di negeri itu dan akan menjalankan siasatan mendalam untuk memastikan sama ada ia mahu menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah pegangan kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan.

"Kita kena bersikap adil dengan mereka (Rufaqa) di negeri ini. Kalau benar pertubuhan ini hanya entiti perniagaan, itu tak apa, tapi jikalau berselindung sebagai cara untuk menghidupkan pergerakan ,ini memang salah," katanya Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Menurut laporan Bernam, beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan bertindak terburu-buru dalam isu itu walaupun sudah ada fatwa dan tangkapan oleh pihak berkuasa agama negeri di Semenanjung.

Daud berkata, walaupun secara secara umum, terdapat tanda-tanda ada kegiatan yang mahu menghidupkan ajaran Aurad Muhammadiah melalui pertubuhan Rufaqa, namun di Sarawak belum dapat dipastikan lagi sama ada pertubuhan itu melakukan kegiatan yang serupa.

Mengenai laporan sebuah akhbar tempatan Sarawak hari ini mengenai keputusan Majlis Fatwa Sarawak untuk mengharamkan pertubuhan Rufaqa, Daud berkata, sebagai tindakan susulan, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau operasi pertubuhan Rufaqa di negeri itu.

Had jual arak

Mengenai cadangan menghadkan jualan arak di kawasan majoriti Islam, beliau berkatam mesyuarat mengenainya diadakan Khamis lalu dan Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak sedang mengkaji undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

"Kita kena ambil kira sensitiviti masyarakat bukan Islam dan juga pada masa yang sama, mengkaji sama ada pindaan undang-undang kecil kerajaan tempatan di Sarawak tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang persekutuan," katanya.

Daud berkata, bahawa mesyuarat itu pada dasarnya bersetuju, jika pindaan undang-undang dibuat, ia hanya dikuatkuasakan di kawasan yang mempunyai penduduk beragama Islam sebanyak 80 peratus ke atas.

Mengenai langkah jangka panjang menangani masalah ini yang melibatkan ramai golongan belia beragama Islam, beliau berkata, JAIS akan menggunakan ceramah di surau dan masjid selain khutbah Jumaat untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat bahaya penagihan arak.

"Kita juga akan meningkatkan langkah penguatkuasaan di kawasan majoriti Islam bagi mengurangkan masalah sosial ini," katanya.