Paling Popular
Terkini

ULASAN | Nafsu memuncak pemimpin kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan pangkat serta kedudukan sesama sendiri mengakibatkan nasib rakyat menjadi korban banjir teruk di beberapa negeri.

Kerakusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengekalkan dan memusatkan kuasa politik menyebabkan nyawa rakyat terancam. Amalan ini berterusan sejak ketika permulaan wabak Covid-19 sehingga bencana banjir.

Semakin ramai menteri dan timbalan menteri - yang kini berjumlah lebih 70 orang - dan ditambah pula dengan para penasihat perdana menteri, semakin bercelaru dan tiada arah tuju kerajaan hari ini.

Ramai pemangku jawatan penting dilantik tanpa kita ketahui apakah tugas mereka walaupun dibayar gaji bernilai puluhan ribu ringgit setiap bulan. Dalam keadaan sebegitu pun Ismail Sabri Yaakon memberikan markah ajaib 90 peratus atas "prestasi" mereka.

Pelantikan tersebut adalah semata mata sebagai ganjaran untuk mengumpul kuasa serta wang orang politik tamak, bukannya demi kebajikan rakyat yang semakin hari semakin susah.

Ketika banjir dasyat melanda Selangor, Kuala Lumpur dan negeri lain melibatkan ratusan ribu rakyat, Umno dan Bersatu pula meneruskan majlis besar serta mesyuarat mereka di Lembah Kelang.

Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuhkan pula meneruskan majlis besar-besaran bagi menerima ahli baru pada hari yang sama.

Hanya Amanah yang membatalkan konvensyen tahunan mereka dan mengarahkan semua pemimpin dan ahli parti agar segera keluar membantu rakyat. Ia dibuat ketika Amanah sudah mengeluarkan belanja yang besar untuk membuat persediaan konvensyen nasional tersebut.

Tak tahu tanggungjawab sendiri

Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdul Latiff Ahmad yang menerajui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang tidak bertindak seperti sepatutnya pula mendapat kecaman hebat daripada rakyat.

Cubaan rakannya dalam Bersatu Wan Saiful Wan Jan membela ahli parlimen Mersing itu mengundang Ahli Parlimen Padang Rengas (Umno) Nazri Aziz, menganggapnya sebagai "bangang". Sekali gus apa yang terjadi itu mendedahkan bahawa dalam kerajaan sekarang pertelingkahan dahsyat terus berlaku dan terbuka.

Inilah kecelaruan menyedihkan - anggota parti dalam kerajaan sibuk berebut jawatan dan kuasa serta gaji tinggi tanpa perlu memahami tanggungjawab yang sepatutnya.

Tidak wajar Malaysia mempunyai lebih dari 70 orang berstatus menteri dan timbalan kenteri, dan ditambah lagi dengan barisan penasihat berstatus menteri, tetapi mereka masih meraba-raba mengenai tugas atau tanggungjawab terhadap rakyat yang menderita.

Kalau tidak kerana tindakan terpuji dan berani pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas tanpa menunggu perintah atasan, bayangkan betapa teruk lagi korban banjir kali ini.

Situasi pihak tentera berani "melanggar birokrasi" demi menyelamatkan nyawa rakyat membayangkan betapa tidak upaya serta lemahnya kerajaan Malaysia pimpinan Umno, PAS dan Bersatu ini.

Tahniah kepada wira negara dari ATM.

Apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan semasa Mesyuarat Alam Sekitar Antarabangsa kononnya Malaysia tidak terkesan sangat dengan masalah pemanasan global, kita sepatutnya mula menjangkakan akan berdepan masalah besar.

Rakyat saling memerlukan

Kemudian Tuan Ibrahim berucap dalam bahasa Melayu di Scotland tanpa menyediakan penterjemah. Ia sekali lagi menunjukkan sikap tidak serius dan amat lemah Malaysia.

Bandingkan sikap mereka yang berebut jawatan dan gaji lumayan itu dengan keprihatinan anggota ATM - yang tentunya bergaji lebih rendah - apabila berkorban mengambil inisiatif membantu rakyat ketika pihak menteri-menteri sibuk menghadiri mesyuarat parti.

Ketika pihak kayangan sedang berselesa di bangunan mewah, rakyat terbanyak pula lemas bergelut dan menderita menghadapi banjir.

Apa jenis kerajaan yang kita miliki hari ini?

Mana perginya Menteri Alam Sekitar dan Air? Mengapakah dia menghilangkan diri di tengah-tengah kemusnahan dan penderitaan rakyat?

Mana pula suara para agamawan "kerajaan Melayu Islam" yang pandai serta pantas menghukum orang lain atas musibah yang melanda? Adakah mereka selesa menjadi ulama bisu dan berlagak suci dalam kerajaan ini?

Pekerja kilang dari Melaka, Azwan Omar datang dari Melaka ke Shah Alam

Sama ada berhadapan dengan skandal besar atau malapetaka sehingga melibatkan nyawa rakyat, para agamawan itu diam membisu seolah-olah mereka berlepas tangan daripada menjalankan tanggungjawab dituntut Allah.

Allah membuka hati anggota ATM yang hidup dalam kesederhanaan untuk membantu rakyat menghadapi banjir, manakala para menteri, timbalan menteri, pemimpin parti kerajaan terus berebut jawatan dan kuasa dalam kemewahan.

Apa yang paling jelas ialah, rakyat kini semakin sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi semasa berdepan saat sukar.

Bersama latar belakang agama, bangsa dan budaya yang berbeza, rakyat perlu sedar bahawa kita sedang diperalatkan oleh sebuah kerajaan yang bertopengkan label "Melayu Islam".

Pasanan suami isteri Azura Manas dan Mohd Amli Mohiyadeen datang ke Selangor dari Perak

Sikap yang ditunjukkan kerajaan hari ini sebenarnya tidak Islamik sama sekali kerana mereka jelas membelakangkan golongan lemah dan menderita.

Rakyat berbilang agama dan kaum bersolidariti di mana-mana, termasuk di pusat perlindungan rumah ibadat Islam, Sikh, Kristian dan Buddha dan mereka melakukannya tanpa bantuan kerajaan.

Ini patut sudah cukup untuk menyedarkan kita kepada sifat palsu dan hipokrit kerajaan hari ini.

Bersatulah kita sebagai rakyat walaupun berbeza agama dan bangsa untuk menikmati keharmonian dan kemakmuran di negara tercinta ini. Ia juga merupakan jalan selamat untuk menghadapi muslihat pecah dan perintah pihak kerajaan.

Musibah banjir ini menyampaikan mesej penting bahawa, berbeza agama dan kaum tidak menjadikan rakyat Malaysia saling bermusuhan, sebaliknya membuktikan kita boleh hidup bantu-membantu secara muhibah untuk selamat bersama.

Musuh sebenar rakyat ialah orang politik yang mabuk kuasa dan tamak haloba sambil meruntuhkan perpaduan kita agar mereka dapat terus berkuasa.

Apabila musibah melanda, Ali, Ah Chong, Mutu dan Stevenlah yang lebih dahulu sampai membantu, sementara menteri dan pemimpin lain sibuk bermesyuarat sambil seronok merakam gambar majlis gilang-gemilang.

Semoga timbul kesedaran bahawa kita - rakyat biasa - yang perlu dan mampu menjaga rakyat. Orang kayangan yang mabuk kuasa memang teramat susah untuk 'ke bumi' yang mereka pandang hina.


RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Biro Alam Sekitar dan Kelastrian Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS