Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Tiada ganti rugi untuk haiwan peliharaan mahal, kata exco

Individu yang memelihara haiwan mahal sebagai hobi mewah tidak layak memohon bantuan daripada Tabung Bencana Pertanian Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata kebiasaannya, hobi seperti itu dilakukan oleh mereka yang berkemampuan dari segi kewangan.

"Contoh haiwan mahal ini seperti arnab import berharga lebih RM3,000 seekor, ayam serama atau ikan hiasan berharga ribuan ringgit seekor.

Haiwan mahal ini tidak dikategorikan dalam industri ternakan yang menjana sumber bekalan makanan negeri, yang menjadi hala tuju pertanian Terengganu. Oleh itu, saya cadangkan haiwan mahal ini perlu dilindungi insurans," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Azman yang juga Adun Jabi berkata pihaknya ada menerima permohonan daripada pemilik haiwan mahal baru-baru ini, namun tidak diluluskan kerana tiada peruntukan sesuai bagi membayar ganti rugi kematian 20 ekor arnab dengan nilai kerugian melebihi RM60,000.

"Tabung Bencana Pertanian Terengganu berfungsi sebagai tabung untuk bantu warga tani, penternak dan nelayan bangkit semula apabila dilanda musibah yang menyebabkan kerugian kepada sumber mata pencarian mereka.

Ia bukan bersifat ganti rugi kerana peruntukan daripada kerajaan negeri tidaklah besar, hanya RM1 juta setahun bagi menyantuni tiga sektor utama pertanian, penternakan dan perikanan di seluruh negeri sekiranya mereka ditimpa bencana," katanya.

Sehingga kini, seramai 679 petani, penternak dan nelayan yang ditimpa pelbagai musibah telah menerima manfaat daripada tabung tersebut dengan nilai keseluruhan RM588,000.

Daripada jumlah itu, 496 orang adalah warga tani dengan sumbangan berjumlah RM301,000, diikuti 89 penternak (RM153,000) dan 94 nelayan (RM134,000).

-Bernama

Lihat Komen
ADS