Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Syarikat balak perlu beri bantuan lebih besar pada mangsa banjir'
Diterbitkan:  Dec 26, 2021 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata syarikat pembalakan, yang menurutnya turut bertanggungjawab terhadap banjir yang berlaku, perlu memberikan sumbangan yang lebih besar kepada mangsa banjir.

Anwar berkata, di beberapa kawasan yang dilanda bencana itu, terdapat perkara yang menunjukkan kegiatan pembalakan telah memburukkan masalah banjir.

"Jika lihat gambar, ada juga kesan daripada pembalakan.

"Jadi selain kerajaan negeri, syarikat pembalakan yang raih keuntungan besar wajib beri sumbangan, bantuan lebih besar kerana mereka juga bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," katanya dalam kunjungan ke Ketari di Bentong, Pahang hari ini.

Presiden PKR itu berkata, dia telah pergi ke banyak tempat yang ditimpa banjir, termasuk di Selangor, dan melihat rakyat pelbagai kaum dan agama bersama-sama membantu mangsa.

Namun, katanya, ada keperluan untuk menambah baik kecekapan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, terutama di Sri Muda di Selangor.

Dia juga meganmbil maklum masalah kesesakan di kawasan terjejas turut menghalang usaha lori untuk mengangkut keluar sampah dan bahan buangan.

Kurangkan birokrasi

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan perlu mengurangkan birokrasi untuk mangsa banjir menuntut bantuan.

Menteri juga tidak perlu mengikut protokol ketika pergi ke kawasan yang ditimpa banjir, katanya lagi.

"Kenapa saya naik motor? Umur saya tak sesuai naik motor. Tapi kalau saya ikut peraturan biasa, ia akan jejaskan (ganggu) kerja pemulihan dan bantuan," katanya lagi.

Dia dipercayai merujuk kepada aduan bahawa konvoi VIP telah menyebabkan gangguan di kawasan tersebut.

Lihat Komen
ADS