Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peter Anthony keluar Warisan
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Naib Presiden Warisan Peter Anthony mengumumkan keputusannya untuk keluar parti.

Bernama juga memetik Adun Melalap itu sebagai berkata dia bakal menubuhkan parti baru yang akan kerjasama dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, tindakan itu adalah demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah, selepas beliau melihat parti Warisan telah jauh tersasar dalam perjuangan itu apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

"Sudah tiba masanya bagi kita pemimpin di Sabah untuk lupakan persengketaan politik bagi sama-sama bangunkan negeri tercinta ini…pembangunan di Sabah ini (terkesan) sedikit sebanyak oleh perbalahan politik, jadi saya merasakan perlu ke arah kesatuan gabungan pemimpin di negeri ini bagi sama-sama bangunkan Sabah.

"Rakyat Sabah ini perlukan satu parti yang betul-betul memperjuangkan hak orang Sabah, itu yang paling penting bagi kita, tiada guna untuk kita sekiranya satu parti yang ditubuhkan itu ke luar (Sabah)," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Pengumuman itu dibuatnya kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengarahkan Peter yang juga adalah bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Bagaiamanpun, Peter pada sidang media hari ini menolak dakwaan kononnya tindakannya keluar parti hari ini adalah disebabkan kes mahkamah berkenaan tetapi menegaskan keputusannya adalah kerana suara dari akar umbi rakyat Sabah.

"Mereka mahu platform parti tempatan yang betul-betul perjuangkan rakyat Sabah...parti (baru) ini akan saya umumkan dalam masa terdekat dan kalau ada berminat (menyertai) kita beri peluang sama-sama kita," katanya.

Ditanya adakah beliau telah berbincang mengenai tindakan itu bersama Presiden Warisan,Mohd Shafie Apdal, Peter hanya menjawab: "I think it should be OK," dan memberitahu beliau akan menghantar surat berkaitan kepada pihak yang terlibat.

Peter berkata beliau bersedia dengan sebarang tindakan daripada Warisan, termasuk melibatkan tindakan undang-undang, dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan negara untuk menentukan kedudukannya selepas ini.

"Sekiranya pihak mahkamah memutuskan saya perlu mengosongkan kerusi DUN Melalap saya bersedia, terserah kepada undang-undang, kita akan patuh," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Peter mempertahankan kerusi DUN Melalap setelah memperoleh 5,694 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar yang memperoleh hanya 3,526 undi.

Dia memang atas tiket Warisan dengan majoriti 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan kini hanya memiliki 18 kerusi di DUN Sabah, apabila sebelum ini tiga ADUN yang terdiri daripada Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohammadin Ketapi (Segama) juga Ahli Parlimen Lahad Datu, bertindak keluar parti, manakala Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) meninggal dunia tahun lalu.

Mengulas lanjut, Peter berkata PRN Sarawak ke-12 lalu yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, boleh dijadikan contoh terbaik dengan melihat rakyat Sarawak sendiri memilih pemimpin tempatan bagi bersama memajukan negeri.

"Biarlah Sarawak dipimpin pemimpin Sarawak, Kuala Lumpur pemimpin Kuala Lumpur, Negeri Sembilan pemimpin Negeri Sembilan, Pulau Pinang pemimpin Pulau Pinang, dan kita pemimpin di Sabah sama-sama fokus bangunkan Sabah," katanya.


Lihat Komen
ADS