Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gomez tak bangkitkan isu dakwaan salah laku Azam Baki'
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 8:48 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Edmund Terence Gomez tidak langsung membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam dua e-melnya yang dihantar kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel berkenaan.

Pengerusi panel itu, Borhan Dolah berkata Gomez dalam e-melnya hanya meminta diadakan mesyuarat bagi membincangkan usaha memulihkan imej SPRM.

Dia berkata pakar ekonomi itu melahirkan kebimbangannya terhadap SPRM yang sering dihentam pelbagai pihak dan meminta mesyuarat PPPR segera dibuat bagi membincangkan cara untuk mereka menyokong agensi penguatkuasa itu.

"Saya membalas mengatakan akan mempertimbangkan dahulu perkara itu malah terus berhubung dengan urusetia SPRM untuk mendapat pandangan kerana isu ini di luar bidang kuasa PPPR.

"Tiba-tiba dia meletak jawatan dan membangkitkan isu itu seolah-olah komuniti saya (panel PPPR) tidak ambil kisah mengenai dakwaan salah laku KP SPRM, sedangkan dia membangkitkan perkara lain untuk diadakan mesyuarat dan tidak menyentuh isu yang didakwanya ketika meletak jawatan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR selepas panel tersebut didakwa gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.

Dia mendakwa Borhan tidak menjawab permintaannya supaya panel itu mengadakan mesyuarat berhubung dakwaan terhadap Azam.

Walaupun Borhan memberi respons segera dan setuju untuk mengadakan mesyuarat, katanya, ia akhirnya tidak dilaksanakan.

Malaysiakini telah menghubungi Azam untuk mendapatkan respons.

Sementara itu, Borhan berkata Gomez sepatutnya faham mengenai tugas dan penubuhan PPPR iaitu sebuah jawatankuasa yang merunding serta mencadangkan bersama SPRM untuk dilaksanakan program komuniti untuk kesedaran benci rasuah.

Katanya lagi, Gomez sepatutnya melaporkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman sekiranya mendapati salah laku dilakukan Azam dan tidak meminta PPPR mengambil tindakan, yang jelas bukan di bawah bidang kuasa mereka.

"Malah selain PPPR, ada beberapa lagi mekanisme bertanggungjawab diwujudkan yang bertindak sebagai 'check and balance' SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusi oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)," katanya.

Lihat Komen
ADS