Penduduk Karak memuji tindakan sekumpulan belia yang menyediakan bekalan air kepada mangsa-mangsa banjir yang terputus bekalan sejak Jumaat lalu.

Dikenali sebagai "Uthavum Karangal" atau bermaksud "tangan membantu" dalam bahasa Tamil, kumpulan belia 20 orang itu menyediakan bekalan air kepada penduduk sekitar Karak.

Mereka mengepam sumber dari mata air ke tangki sebelum menghantar bekalan ke rumah menggunakan lori.

"Kami semua tinggal di Taman Seri Bayu, Karak. Banjir teruk melanda pada Jumaat menyebabkan hampir kesemua taman perumahan di Karak terputus bekalan air.

"Jadi, kami mengambil keputusan untuk menyediakan bekalan air. Pada mulanya, sasaran kami di Taman Seri Bayu sahaja.

"Tetapi, selepas mengambil kira keadaan penduduk dari taman-taman lain, kami menyediakan air kepada semua," kata seorang ahli kumpulan itu, Gobi Subramaniam kepada Malaysiakini.

Menurutnya, mereka menggunakan duit sendiri membeli dua mesin pam air itu pada harga RM1,200.

Sementara, dua buah lori dan beberapa tangki air disediakan untuk menghantar air rumah ke rumah.

"Kami tidak minta duit untuk menghantar air. Namun, ada orang memberi duit kepada kami untuk kegunaan diesel dan makanan.

"Bagi kami, semua penduduk Karak sama sahaja. Tidak kira bangsa dan agama. Yang perlukan air, kami akan sediakan.

"Hari ini sudah hari yang kesepuluh dan kami terus hantar air di kawasan yang masih terputus bekalan air," katanya.

"Uthavum Karangal" memulakan penghantaran air setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 11 malam. Mereka memilih satu sumber mata air di Taman Seri Bayu.

Selain Taman Seri Bayu, bekalan air turut disalurkan ke Taman Karak Indah, Kampung Klinik, Taman Karak, Kampung Baru, Taman Hijau dan Taman Seri Makmur.

"Sehingga hari ini, lebih 500 keluarga sudah dihantar bekalan air.

"Memang penat tapi seronok dan rasa puas hati bila orang senyum dan berterima kasih kepada kita apabila menghantar air," katanya.

Beberapa kawasan di Karak yang dilanda banjir teruk pada Jumaat lalu masih mengalami gangguan bekalan air. Bagaimanapun, bekalan berjaya dipulihkan secara berperingkat-peringkat.

Setakat semalam, hampir 70 peratus kawasan perumahan sudah menerima air di pili halaman rumah sahaja.