Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Masya-Allah... memang tak boleh percaya PAS ni'

Seorang pemimpin Umno mendakwa perbincangan bagi menentukan hala tuju Muafakat Nasional (MN) di Kelantan asalnya digerakkan lebih awal oleh PAS.

Menurut Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, ia dipercayai dibuat kerana PAS berasa bimbang akan kehilangan kubu kuat mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah, Nur Jazlan mendakwa kerjasama parti itu dalam MN selama ini pun hanyalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan PAS semata-mata, bukannya bersama Umno.

"Tindakan PAS mahu bincang dengan (Umno) Kelantan kerana mereka dah mula takut dan tindakan itu hanyalah untuk mempertahankan home ground (kubu kuat).

"Selama ini pun MN adalah untuk mengelak (PAS) bertembung dengan Umno dan mereka bimbang kalah di kubu kuat sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan dan status MN khususnya di Kelantan. Selain di negeri Cik Siti Wan Kembang itu kedudukan kerjasama PAS-Umno juga dilihat tidak kukuh di Terengganu.

Sebelum ini PAS Kelantan mengesahkan mereka menerima surat jemputan daripada Umno negeri itu untuk membincangkan hala tuju kerjasama mereka terutama ketika PRU ke-15 semakin hampir.

Hanya untuk kukuhkan PAS

Hari ini PAS Kelantan dilaporkan berkata mereka akan bertemu dengan Umno pada 22 Jan depan.

Dakwa Nur Jazlan, Umno Kelantan tidak pernah menghantar surat untuk meminta pertemuan diadakan, sebaliknya langkah tersebut dimulakan oleh PAS.

"PAS yang minta Umno Kelantan berunding bukan Umno Kelantan.

"Kita tak nak, tapi dia orang yang mulakan benda ini dan memang PAS tak setuju (Umno tolak kerjasama).

"Sepatutnya PAS bincang di peringkat pusat tapi selepas kekalahan di Melaka dan Sarawak mereka juga risau kalau kalah di kubu kuat mereka seperti Kelantan," katanya.

Kata Nur Jazlan, perbincangan tersebut juga lebih kepada melihat kepentingan PAS, dan bukannya Umno.

"Perbincangan itu hanya bagi mengukuhkan kedudukan PAS untuk pilihan raya akan datang.

"Presiden (Umno) memang dah buat kenyataan bahawa PAS tak jujur. Jadi, di peringkat pusat pun saranan untuk kerjasama melalui MN ini pun dah tak wujud sebab PAS kata, kalau nak teruskan MN dia nak bersama Bersatu juga, dan Umno dah buat keputusan untuk tidak akan bersama Bersatu," katanya.

Tambah Nur Jazlan berdasarkan kenyataan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti itu, bolehlah dianggap MN sebenarnya sudah gagal.

Tambah Nur Jazlan, tindakan PAS yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini juga jelas memperlihatkan bahawa parti itu memang tidak boleh dipercayai.

"Masya-Allah, memang tak boleh percaya," katanya berulang kali.

Lihat Komen
ADS