Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi nasihat Umno ikut pemimpin MKT, bukan suara di bahagian
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan partinya di sebalik kedudukan PAS yang tekal meneruskan hubungan baik bersama Bersatu.

Justeru presiden PAS itu memberikan 'nasihat' agar ahli Umno mengikut keputusan dibuat MKT Umno dan bukannya pandangan daripada pemimpin di peringkat bahagian.

Malah Abdul Hadi berpendapat penetapan pendirian itu sepatutnya tidak mengikut acuan "demokrasi Barat".

"Saya difahamkan majoriti ahli MKT Umno (mahu) berkerjasama.

"Umno kena ikut pemimpin... majlis tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ni akar umbi... itu lain cerita.

"Kita tak boleh pakai demokrasi barat. Kita kena ikut pimpinanlah," katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini.

Terdahulu duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu ditanya sama ada dia yakin atau tidak Umno mahu bekerjasama dengan mereka.

Status kerjasama PAS-Umno yang dimeterai melalui Muafakat Nasional (MN) terus menjadi tanda tanya. Ketika Umno mendesak agar keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan MN, PAS pula terus menegaskan pendiriannya untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti secara serentak.

Akui ada kelemahan kerajaan

Beberapa pemimpin atasan Umno sudah membayangkan bahawa MN sebenarnya sudah berakhir. Bagaimanapun tiada sebarang ketetapan rasmi dibuat mana-mana pihak mengenai kerjasama tersebut.

Sebelum ini hubungan kedua-dua parti semakin tegang ekoran kegagalan mereka mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri di Melaka.

Sementara itu ditanya mengenai bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini Abdul Hadi berkata memang ada kelemahan di pihak kerajaan.

Hal itu kerana katanya bencana tersebut adalah sesuatu yang tidak diduga.

“Saya tertarik melihat kerajaan bergabung dengan NGO-NGO yang turun ke lapangan, bekerja secara bersungguh-sungguh.

"Cuma kita kena sedar yang bencana alam ini tak diduga, apabila tak diduga, adalah kelemahan-kelemahan tu, biasalah. 

"Jadi jangan kita tumpu kepada kelamahan sahaja untuk kritik dan hentam kerajaan saja, sebaliknya perlu bersama-sama menyelesaikan kelemahan itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS