PM: 28,287 mangsa banjir terima bantuan wang ihsan
Setakat tengah hari tadi, seramai 28,287 mangsa banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
"Bagi mereka yang masih belum mendaftar atau menerima manfaat ini, boleh segera menghubungi pegawai daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan," katanya dalam hantaran di Twitter.
Ketua isi rumah di kawasan banjir layak menerima bantuan wang tunai RM1,000, manakala keluarga mangsa yang terkorban akibat banjir akan menerima bantuan sebanyak RM10,000.
Menurut Ismail, sebanyak 51 kematian akibat banjir dilaporkan setakat semalam dan 38 keluarga telah membuat tuntutan bagi mendapatkan bantuan RM10,000.
Sementara itu Ismail berkata hanya tiga negeri belum mencapai tahap 100 peratus pembayaran BWI iaitu Pahang (65.5 peratus), Negeri Sembilan (82.7 peratus) dan Selangor (47.6 peratus).
Bantuan lain yang ditawarkan kerajaan untuk mangsa banjir ialah:
- Baucar rebat sebanyak RM500 untuk membeli barangan elektrik.
- Rebat sehingga RM1,000 untuk membaiki kenderaan.
- Bantuan sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah.
- Bantuan sehingga RM2,500 untuk membeli perabot.
- Bantuan sehingga RM56,000 untuk membina rumah di luar bandar yang musnah akibat banjir.
- Bantuan sehingga RM15,000 untuk membaiki rumah luar bandar.
- Rebat 100 peratus ke atas tarif elektrik bagi bulan Disember.
Pada masa ini, banjir melanda bahagian selatan Semenanjung Malaysia, pantai timur dan beberapa bahagian di Sabah.
Tiga minggu lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang dan Pahang terjejas teruk akibat banjir berikutan hujan berterusan.
Pada masa itu, mangsa banjir mengadu bahawa kerajaan lambat menghulurkan bantuan.

