Kira-kira 60 pengamal media daripada 13 agensi di Perak menerima dos penggalak vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di Ipoh.

Ketua Pegawai Eksekutif PCSH Nicholas Chan berkata dos penggalak itu diberikan secara berperingkat selama tiga hari bermula hari ini.

"Antara agensi media yang menerima dos penggalak itu termasuk NSTP, BERNAMA (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), Utusan Malaysia, The Star, Sinar Harian, Suara Perak, RTM, TV3, Malay Mail, Astro Awani dan TV Alhijrah," katanya ketika ditemui pemberita di Ipoh hari ini.

Dalam pada itu, Chan berkata sehingga kini hospital berkenaan menerima kira-kira 400 penerima suntikan vaksin COVID-19 setiap hari.

Katanya kebanyakan individu yang datang untuk mengambil dos penggalak ketika ini terdiri daripada mereka yang berusia 40-an.

"Pihak hospital menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan tidak perlu menunggu sehingga enam bulan untuk pemberian dos penggalak, selain kemunculan varian Omicron yang agak membimbangkan ketika ini," katanya.

Menurut Chan pihaknya sudah memberikan suntikan vaksin termasuk dos penggalak kepada 40,300 penerima sejak PPV hospital itu mula beroperasi pada 31 Mei tahun lepas.

- Bernama