Kehadiran tetamu tidak diundang cetus kekecohan
Kekecohan berlaku dalam satu perjumpaan di Kuching malam tadi apabila para pemimpin dari kumpulan yang bertentangan yang mendesak Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan supaya meletak jawatan hadir tanpa diundang.
Kekecohan berlaku dalam satu perjumpaan di Kuching malam tadi apabila para pemimpin dari kumpulan yang bertentangan yang mendesak Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan supaya meletak jawatan hadir tanpa diundang.
Perjumpaan tersebut yang dihadiri perwakilan dari pelbagai cawangan parti itu di Kuching dan kawasan sekitarnya, adalah satu majlis taklimat mengenai 'Rancangan Kehadapan' yang menyentuh isu-isu mengenai masyarakat Cina sebelum mesyuarat khas perwakilan (SDC) berlangsung Ahad ini.
Bagaimanapun, ia bertukar menjadi sesi mengutuk puak yang menentang Chan, terutama pengkritik terkuatnya, Timbalan Presiden, Tan Sri Law Hieng Ding dan Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Wong Soon Koh.
Apabila Chan dan para penyokongnya selesai bercakap, Law bangun bertanya sama beliau juga dibenarkan bercakap. Apabila tidak ada pihak yang membantah, beliau berdiri untuk bercakap dan ketika itu, presiden parti berjalan keluar dari dewan, dengan diikuti oleh para penyokongnya.
Para hadirin terpegun melihat apa yang terjadi, tetapi Law tidak dapat meneruskan ucapannya kerana Chan telah mengarahkan supaya alat pembesar suara ditutup. Ini membuat Law marah dan mula menjerit.
Ketika ditemui kemudiannya, beliau dengan keras berkata: "Apa yang terjadi kepada parti ini? Mengapa Chan begitu takut untuk mendengar apa yang kami hendak cakap? Apa yang mahu disembunyikannya?".
Ketibaan Law dan pemimpin lain yang menyokongnya, termasuk Wong, timbalannya Robert Lau dan Ketua Pemuda Allan Sim, di majlis taklimat itu telah memeranjatkan Chan dan penyokongnya, termasuk Setiausaha Agung Sim Kheng Hui.
"Saya mempunyai hak untuk hadir di ibupejabat parti sebagai timbalan presiden dan ahli parti. Ibupejabat parti milik semua ahli," kata Law lagi.
"Kita memang tahu mengenainya (mesyuarat ini) sebelum ini," katanya, sambil menambah beliau dan rakan-rakannya mempunyai hak untuk hadir kerana mereka juga merupakan anggota Rancangan Kehadapan.
Mengenai Rancangan Kehadapan itu, beliau berkata: "Terdapat begitu banyak isu yang tidak diambil kira dalam pelan tersebut seperti isu kemiskinan dan lain-lainnya. Mengapa hanya bercakap mengenai beberapa isu sahaja seperti pembaharuan pajakan tanah, pendidikan Cina dan sebagainya?".
Strategi sebenar
Allan berkata, beliau percaya strategi sebenar kumpulan Chan adalah untuk menggunakan Rancangan Masa Depan itu sebagai satu strategi untuk mendapatkan pengesahan para perwakilan di SDC Ahad ini.
"Dengan pengesahan tersebut, mereka fikir ia juga sebagai tanda sokongan mereka kepada kepimpinan Chan, sedangkan ia bukan begitu," katanya.
Strategi seumpama itu, tambahnya, jelas bertujuan untuk mengelak usul tidak percaya dan usul memilih barisan kepimpinan baru parti di SDC.
"Buat masa ini, kami tidak tahu sama ada mereka akan membenarkan usul kami itu dikemukakan, walaupun di segi perlembagaannya, kami telahpun memenuhi semua keperluannya dengan menghantarnya sebelum tarikh tutup untuk berbuat demikian," tambah Allan.
Timbul juga desas-desus bahawa kumpulan Chan juga mungkin memohon untuk mengemukakan usul yang sama terhadap Law dan Wong.
Tetapi menurut Ketua Pemuda itu, beliau ragu ianya akan berlaku kerana risiko yang terbabit dan mereka menggunakan strategi yang dipanggil "Rancangan Kehadapan" bagi mendapat sokongan terhadap kepimpinannya.
Awal hari ini, Chan memberitahu pemberita bahawa isu kepimpinan akan diselesaikan dalam SDC Ahad ini. Para penyokong Chan juga mengadakan perjumpaan yang sama di Miri dan Sarikei.
Kekecohan juga berlaku di Sarikei pagi semalam. Majlis itu dianjurkan oleh bendahari parti dan Menteri Muda David Teng Lung Chi untuk memberi taklimat kepada ahli mengenai Rancangan Kehadapan itu.
Wong yang hadir tanpa dijemput untuk bercakap kepada ahli-ahli yang hadir, jelas tidak disenangi oleh Teng yang merupakan penyokong Chan.
Para pemimpin dalam kumpulan Law berkumpul di sebuah hotel lima bintang di Kuching malam ini untuk merancang strategi mereka yang selanjutnya ekoran apa yang disifatkan oleh Allan sebagai perubahan taktik oleh presiden dan para penyokongnya.
Law berkata, jika kumpulan Chan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya dan Wong tanpa mengikut prosidur perlembagaan parti, "Saya akan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan". Berita asal

