Empat bahagian Parti Rakyat Sarawak (PRS) memfailkan aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam kerana membantah persidangan perwakilan (TDC) yang diadakan oleh kumpulan penyokong presiden parti itu, Dr James Masing yang telah 'dipecat' dari parti itu, di Sibu hujung minggu lalu.

Empat bahagian tersebut Padungan, Batu Lintang, Kedup and Satok semuanya penyokong kumpulan 'pemangku' presiden, Datuk Sng Chee Hua adalah antara 10 bahagian yang sah, yang mendakwa sengaja tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut.

Dalam satu sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Green Heights dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam tadi, Ketua bahagian Padungan, Dr Ong Lark Sai berkata, bahagiannya tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan untuk memilih perwakilan ke TDC hujung minggu lalu.

Menurut laporan media, Timbalan Ketua bahagian Padungan, Sim Lai Ann telah dipilih menganggotai majlis tertinggi dalam persidangan perwakilan di Sibu itu.

"Bolehkah dia (Sim) mendakwa sebagai wakil yang sah atau dipilih oleh bahagian Padungan yang saya ketuai, untuk menghadiri persidangan perwakilan itu, sedangkan bahagian ini tidak pernah bermesyuarat untuk memilih perwakilannya," kata Dr Ong yang juga ahli majlis tertinggi PRS.

"Apakah dia telah dipujuk supay amewujudkan satu lagi bahagian dalam bahagian yang sama, semata-mata untuk meramaikan para hadirin di persidangan perwakilan yang diadakan oleh Masing di Sibu itu?" tambahnya.

Mesyuarat palsu

Sementara itu, Ketua bahgaian Kedup, Mathew American dan timbalannya, Cr Langui Ak John berkata terdapat individu tertentu yang telah "merampas" bahagian mereka, dan mengadakan mesyuarat tahunan palsu serta'memilih' 60 orang, sebahagian besarnya bukan ahli parti, ketika lawatan rasmi Masing ke Kampung Bunga Gega pada 5 November.

"Tidak ada mesyuarat tahunan yang diadakan di bahagian ini. Saya difahamkan, senarai nama pemegang jawatan di peringkat bahagian ini, telah dimanipulasikan oleh individu tertentu," kata Mathew.

Tambahnya, senarai (kumpulan Masing) mengandungi nama ketua bahagian yang baru dan diserahkan kepada pejabat parti di Pending yang dikendalikan oleh kumpulan Masing dan bukannya kepada ibupejabat parti yang diluluskan oleh ROS di Green Heights.

"Senarai tersebut mengandungi nama lima perwakilan yang mewakili bahagian Kedup.

"Bahagian ini mempunyai 911 ahli," kata Mathew, sambil menambah mesyuarat agung tahunan pada 5 November, hanya merupakan perjumpaan kira-kira 60 orang, sebahagian besarnya penduduk kampung.

Di samping itu, katanya, mesyuarat tersebut dipanggil oleh setiausaha bahagian Tebedu, dan bukan bahagiannya.

"Saya tidak puashati dengan apa yang berlaku dalam bahagian ini ekoran aktiviti individu-individu tertentu," kata Mathew, sambil menambah, beliau telah meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan bahagian berkenaan.

Notis tidak sah

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua bahagian Batu Bintang, Athanasiu Audie Chua dan lima pemegang jawatan utama berkata, mereka tidak menghadiri TDC yang diadakan oleh kumpulan Masing itu, kerana pihak bahagian enggan mengiktiraf notis yang ditandatangani oleh Ketua Publisiti PRS, Wilfred Nissom yang mendakwa menjadi setiausaha agung parti itu.

Bahagian Satok, yang terletak dekat Kuching, dengan majoriti orang Melayu berkata, enggan mengiktiraf kuasa kumpulan Masing untuk mengadakan persidangan tahunan untuk bahagian tersebut.

Ini kerana pihak yang sah yang boleh memberi arahan kepada pihak bahagian untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan dan memilih perwakilan ke TDC, adalah majlis tertinggi parti dengan ibupejabat berdaftarnya di Green Heights.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Timbalan Ketuanya, Tuah Idris (kerana ketua bahagian tersebut, Ben Sng berada di luar negara), bahagian Satok berkata, walaupun ia mempunyai 815 ahli, tetapi hanya diminta menghantar lima perwakilan ke TDC.

Tuah berkata, bahagian berkenaan telah membuat aduan, melalui Setiausaha Agung Sidi Munan, kepada ROS supaya menyiasat dan mengambil langkah sewajarnya.

Bulan lalu, ahli parti yang menyokong Sng gagal memperolehi perintah mahkaman untuk menghalang TDC yang diadakan oleh kumpulan Masing.

Masing juga telah dipecat dari parti oleh kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden, Datuk Sng kerana melanggar perlembagaan parti dengan menamatkan perkhidmatan enam pemegang jawatan utama parti, tanpa memberi sebarang surat tunjuk sebab.

Beliau juga didapati bersalah oleh pihak parti itu kerana memanggil mesyuarat pada 2 Disember, sedangkan beliau (Masing) tidak diberi kuasa berbuat demikian kerana sebelum itu dia telah 'dicela' sebagai presiden parti itu. Berita asal