Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberi maklumat pertahan laporan isu saham Azam
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 7:45 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

Pemberi maklumat K Lalitha, yang menulis mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam dua syarikat senaraian awam, mempertahankan laporannya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, Lalitha turut mengecam percubaan SPRM melibatkan polis untuk menyiasatnya.

Manjeet berkata laporan polis yang dibuat oleh penolong kanan pesuruhjaya SPRM membuat kesimpulan pramatang mengenai kelakuan bosnya walaupun belum ada siasatan dijalankan ke atasnya Azam.

Tambahnya, laporan polis itu meleset memandangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menggesa supaya siasatan dijalankan terhadap kelakuan Azam dalam urusan jual beli saham berkenaan.

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan lepas, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adik lelakinya.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

Azam sejak itu mengeluarkan surat tuntutan terhadap Lalitha, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta.

Manjeet berkata laporan Lalitha adalah berdasarkan rekod awam, laporan kawal selia dan pemfailan kewangan korporat.

Tambahnya, Lalitha juga telah meminta komen Azam pada 10 Dis melalui Whatsapp tetapi tiada jawapan.

Dia menambah dia juga telah menghubungi pembantu peribadinya tetapi tiada sebarang maklum balas.

“Lalitha mengalu-alukan gesaan perdana menteri Malaysia dalam sidang media di Kota Marudu dan menteri dalam negeri bahawa keseluruhan perkara berkaitan peranan dan urusan saham Azam akan disiasat.

“Gesaan Lalitha adalah bahawa ini harus dilakukan oleh sebuah badan yang berwibawa dan bebas tanpa sebarang berat sebelah atau konflik kepentingan dan yang memberi inspirasi sepenuhnya kepada keyakinan umum selaras dengan status, peranan dan tanggungjawab SPRM dalam menangani rasuah di Malaysia," kata Manjeet.

Peguam itu menambah bahawa SPRM sepatutnya tidak mempunyai peranan dalam menyiasat ketua pesuruhjayanya sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS