Projek RM600 juta: Bantu kontraktor tulen cari makan
Ketua Umno bahagian dan agensi pelaksana yang menguruskan pengagihan projek bernilai RM600 juta untuk kontraktor kelas F diminta memastikan ia hanya diberikan kepada kontraktor yang aktif dan bukannya 'kontraktor sambilan' atau broker kontrak sahaja.
Ketua Umno bahagian dan agensi pelaksana yang menguruskan pengagihan projek bernilai RM600 juta untuk kontraktor kelas F diminta memastikan ia hanya diberikan kepada kontraktor yang aktif dan bukannya 'kontraktor sambilan' atau broker kontrak sahaja.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Kuala Lumpur, Ahmad Awang berkata, mereka yang perlu dibantu kerajaan ialah kontraktor tulen sepenuh masa yang "cari makan" dengan melaksanakan projek dengan modal dan tenaga sendiri.
"Sekarang terdapat tiga kategori kontraktor kelas F pertama, kontraktor tulen; kedua, kontraktor sambilan yang sudahpun bekerja makan gaji sebagai kakitangan kerajaan, guru atau pekerja swasta tetapi mempunyai lesen kelas F; dan ketiga, broker kontrak yang hanya menjadi 'sleeping partner'.
"Bagi kontraktor sambilan dan broker ini, apabila dapat kontrak, mereka akan menjualnya kepada orang lain untuk mendapatkan untung atas angin atau komisyen. Mereka inilah kontraktor 'Alibaba' atau 'Alisami'," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Beliau mengulas keputusan kerajaan baru-baru ini yang menyediakan peruntukan tambahan RM600 juta untuk melaksanakan projek kecil bagi kontraktor kelas F yang akan diagihkan menerusi 191 bahagian Umno di Semenanjung dan Sabah.
Pengagihan kira-kira RM3 juta bagi setiap Umno bahagian itu akan diuruskan oleh ketua bahagian, dengan agensi pelaksana seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ia membabitkan projek kecil seperi membaiki jalan, menurap, membaiki longkang mengecat bangunan dan sebagainya, tetapi tidak melebihi RM200,000.
Menurut Ahmad lagi, kewujudan kontraktor sambilan atau broker ini bukan satu dakwaan kosong tetapi diakui sendiri oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu.
Katanya, statistik CIDB baru-baru ini mendedahkan hanya kira-kira 20,000 daripada 32,242 kontraktor kelas F yang aktif manakala Samy pula menyatakan kira-kira 16,000 kontraktor sahaja yang beroperasi sepenuh masa.
Senarai kontraktor aktif
Oleh itu, Ahmad berharap, ketua Umno bahagian memastikan senarai kontraktor yang aktif sahaja yang diserahkan kepada pejabat daerah atau JKR.
Di samping itu, katanya, ketua bahagian juga perlu memantau senarai penerima projek tersebut untuk memastikan mereka yang layak sahaja mendapatnya.
Beliau bimbang ada antara projek tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak patut memperolehinya "kerana sudah menjadi lumrah, apabila kerajaan menyediakan peruntukan baru, syarikat atau kontraktor yang tidur selama ini, akan bangun untuk merebutnya.
"Kita berharap ketua bahagian dan pejabat daerah dapat merangka kaedah pengagihan projek yang adil supaya semua pihak dapat menikmati faedah daripada peruntukan tambahan itu," katanya.
Lesen kontraktor kelas F dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK)di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Seorang pegawai PKK menjelaskan, syarikat, perniagaan (enterprise), koperasi atau pertubuhan boleh memohon dan berdaftar sebagai kontraktor kelas F.
Pemohon juga perlu terlebih dahulu didaftarkan di negara ini dengan salah sebuah jabatan berikut Pendaftar Syarikat, Pendaftar Perniagaan, Jabatan Pembangunan Koperasi dan Lembaga pertubuhan Peladang.
Kepakaran dan pengalaman
Katanya, keutamaan pemberian lesen adalah untuk syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang teknikal yang mereka ceburi.
Sesebuah syarikat hanya perlu memiliki modal minima RM10,000 untuk mendapatkan lesen kelas F dan diperbahrui setiap tiga tahun.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini pengeluaran lesen kelas F dibekukan kerana jumlahnya terlalu ramai di seluruh negara.
Pembekuan itu berkuatkuasa 8 April lalu hingga tarikh yang akan ditentukan kelak.
Semua kontraktor yang mahu menyertai tender kerajaan dan swasta diwajibkan memiliki lesen kelas A,B,C,D, E atau F dan mendaftar dengan PKK.
Bagi kontraktor kelas A, syarikat atau pertubuhan mesti mepunyai modal berbaayar sekurang-kurangnya RM600,000; kelas B RM400,000; kelas C RM100,000; kelas D RM35,000 dan kelas E RM17,500.
Bagi mendapat lesen kelas F, syarikat, perniagaan, koperasi atau pertubuhan mesti 100 peratus dimiliki oleh bumiputera.
Bagi lesen kelas A, B, C, D, dan E, syarikat boleh dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera atau usahasama tempatan atau asing.

