Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JKR Sabah nasihatkan tutup jambatan gantung tular
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dinasihatkan menutup sementara jambatan gantung usang dan rosak di Sandakan yang tular kelmarin, bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan pada kadar segera.

Ini susulan selepas gambar beberapa pelajar sekolah terpaksa mengharungi jambatan gantung Sungai Batang yang berusia lebih 30 tahun itu tular di alam maya, ketika menghadiri hari pertama persekolahan mereka di SK Sibuga Besar, Sandakan, Sabah.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, nasihat itu disampaikan kepada MPS dalam satu lawatan bersama semalam.

“Pihak Kerja Raya Sabah mengambil berat berkenaan permasalahan ini, namun jambatan gantung ini merupakan di bawah seliaan MPS.

“Hasil kerjasama lawatan tapak bersama MPS pada 11 Januari atas nasihat jurutera pakar cawangan Jambatan Ibu Pejabat JKR, pihak MPS dinasihatkan untuk menutup jambatan tersebut buat sementara waktu dan melakukan kerja pembaikan dengan kadar segera,” kata JKR Sabah di Facebook.

Gambar yang dikongsi Bernama di media sosial - memaparkan kanak-kanak berpakaian sekolah sambil membawa beg bertarung nyawa ketika mereka cuba menyeberangi sebuah jambatan gantung usang yang telah rosak.

Para pelajar dilihat dengan berhati-hati mencengkam tali sambil meniti di bahagian jambatan yang sudah kehilangan sebahagian besar daripada kayu atau papannya.

Ia mengundang perdebatan hangat di alam maya, apabila warganet menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan pelajar berkenaan, selain mempersoalkan bagaimana perkara seumpama itu masih berlaku di Malaysia.

Penduduk turun bergotong-royong membaiki jambatan itu semalam dan menggesa agar jambatan gantung di Kampung Nelayan Tengah dekat Sandakan tersebut digantikan dengan jambatan lebih kukuh.

Antara yang merisaukan penduduk ialah keadaan sungai tersebut yang mempunyai buaya.

Jambatan itu merupakan laluan utama bagi kira-kira 90 peratus penduduk Kampung Nelayan Tengah dan Kampung Pampang untuk ke Sekolah Kebangsaan Sibugal Besar, bersolat jumaat di Masjid Nurul Hidayah dan menaiki bas awam di Kampung Sibugal Besar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin dilaporkan turut mengarahkan MPS untuk membaiki jambatan gantung itu segera.

"Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah," katanya seperti dipetik BH Online

Lihat Komen
ADS