mk-logo
Berita
Banjir: Permohonan Muda nak bersih rumah ditolak sebab maklumat tak lengkap
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 3:43 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Maklumat permohonan perkhidmatan pembersihan rumah dan sumbangan keperluan mangsa banjir di Muar yang dikemukakan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) adalah tidak lengkap, sekali gus menyebabkan permohonan bantuan mereka ditolak.

Pejabat Daerah Muar dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini menyatakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Muar menerima permohonan daripada Muda pada 12 Jan lepas, namun tiada lokasi spesifik khidmat pembersihan dan lokasi pemberian sumbangan serta senarai serahan nama dinyatakan.

Menurut kenyataan itu permohonan Muda untuk melaksanakan perkhidmatan mereka adalah pada hari ini dan esok (15 dan 16 Jan), yang meliputi kerja-kerja pembersihan tiga buah rumah dan pemberian 20 set sumbangan barangan keperluan, serta melibatkan tujuh petugas.

“Untuk permohonan memberi keperluan rumah, PKOB telah meminta senarai serahan nama, ini untuk memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan seragam dan jenis keperluan yang sesuai.

“Sehingga 13 Jan lepas, bantuan keperluan juga sudah melebihi keperluan dan disimpan di stor PKOB. Oleh itu permohonan ini adalah tidak lengkap dan pihak PKOB juga telah meminta agar maklumat serahan nama dan lokasi diberikan,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Daerah Muar itu.

Menurut kenyataan itu, PKOB Muar kemudiannya memutuskan tiada keperluan permohonan dipertimbangkan kerana kerja-kerja pembersihan telahpun berkurangan, yang dilaksanakan oleh seramai 425 sukarelawan ‘Southern Volunteers’ dan 300 orang daripada pelbagai jabatan serta agensi.

“Pada 14 Jan juga, jumlah sukarelawan akan dikurangkan kepada 50 sukarelawan sahaja, sementara Muda pula adalah untuk 15 dan 16 Jan,” menurut kenyataan itu lagi.

Pejabat Daerah Muar menjelaskan selain Muda, terdapat empat lagi permohonan pembersihan kawasan kediaman yang turut ditolak atas sebab sama, dan pemohon memahami situasi semasa yang semakin baik serta tiada keperluan untuk diadakan pembersihan.

Justeru itu, Pejabat Daerah Muar dan PKOB amat kesal dengan dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Facebook beliau pada 13 Jan, yang disifatkan sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Pada 13 Jan, Syed Saddiq menerusi siaran langsung di Facebook beliau, telah mempertikaikan mengenai permohonan bantuan Muda yang ditolak oleh Pejabat Daerah Muar.

- Bernama


 

Lihat Komen
ADS