Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah gagal memacu ekonomi negara di mana Malaysia kini mengalami penurunan pelaburan asing, kadar inflasi yang meningkat dan jauh ditinggalkan negara-negara jirannya.

"Negara-negara yang sebelum ini jauh di belakang kita sedekad yang lalu, sedang giat berusaha untuk memotong kita, jika tidak ketika ini pun, sekurang-kurangnya pada masa yang dekat.

"Pada tahun 1970-an and 1980-an kita berada pada tahap Singapura, Taiwan dan Korea kini mereka sudah jauh di hadapan kita. China dan India telah bangkit sebagai gergasi ekonomi. Kita kini sedang tewas kepada Indonesia, Vietnam dan Thailand," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah gagal sama sekali dalam memacu ekonomi negara.

Untuk menikmati pertumbuhan ekonomi yang dikecapi antara 1970-an hingga 1990-an, beliau berkata, negara perlu menarik pelaburan asing.

"Pada tahun 1990, UNCTAD meletakkan Malaysia keempat di dunia dari segi daya tarikan kepada pelaburan asing, kini kita di nombor 62. Malah pelaburan swasta kita telah merudum kepada peratusan yang kurang daripada 1990.

'Semakin meruncing'

"Di sebalik sentimen yang sedikit positif di Bursa Malaysia baru-baru ini Thailand, Singapura, Korea dan Taiwan yang ketinggalan berbanding kita dari segi 'market capitalisation' telahpun memotong kita," tegasnya lagi.

Anwar juga menyentuh keadaan rakyat yang menurutnya semakin meruncing, dengan lebih 80,000 graduan menganggur.

"Malaysia tidak meningkatkan dayasaing ekonomi kita kerana kita terus-menerus bergantung kepada pekerja asing untuk bekerja pada upah yang rendah. Tetapi ketika kita tidak boleh bersaing dengan tenaga kerja mahir Korea, Taiwan atau Singapura, kita juga tidak boleh lagi bersaing dengan kadar upah yang rendah di China, Vietnam atau Indonesia.

"Orang ramai juga dibebani peningkatan harga yang berterusan ketika inflasi diramalkan berada pada tahap tertinggi dalam tujuh tahun sementara kadar upah dan gaji tidak berubah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia kini berada di persimpangan di mana "kita boleh bergerak ke hadapan dengan menekankan pembinaan daya saing nasional dan mengurangkan jurang antara kaya dan miskin; atau kita boleh kekal tanpa hala tuju sambil mempertikaikan kuota kaum ketika kedangkalan, rasuah dan jurang ekonomi semakin bertambah".

"Ketika Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini menuntut campurtangan kerajaan dan penggubalan undang-undang bukan untuk membantu golongan miskin tetapi semata-mata untuk kroni-kroni mereka," tambahnya.

Mengenai janji kerajaan sekarang yang meletakkan membanteras rasuah sebagai janji utama mereka pada pilihanraya yang lalu, Anwar berkata:

"Tiada keazaman politik ditunjukkan untuk membuka kes-kes rasuah yang besar, sementara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri saling tuduh-menuduh siapa yang memberi lebih banyak kontrak dan projek kepada anak-anak mereka.

"Tidak hairanlah kita telah jatuh lima tangga lagi dari 39 kepada 4 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International," katanya.

Pertumbuhan sederhana tahun depan

Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan minggu lalu bahawa pertumbuhan Keluaran Dalaman Kasar (KDK) Malaysia diramalkan merosot kepada 5.3 peratus pada 2007 ekoran penurunan eksport.

Angka ini adalah di bawah unjuran kerajaan sebanyak 5.8 hingga 6 peratus pertumbuhan tahun depan.

ADB juga melaporkan bahawa dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2006, kadar purata inflasi di Malaysia ialah 3.7 peratus, dengan yang kadar tertinggi 4.8 peratus pada bulan Mac (selepas kerajaan mengurangkan subsidi minyak).

Kadar inflasi dijangka berada pada purata empat peratus pada keseluruhan tahun, dengan kadar tertinggi pada 1998, sewaktu Asia dilanda krisis kewangan.

Keadaan ekonomi dijangka menjadi isu utama jika kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan pilihanraya umum lebih awal pada tahun depan. Pilihanraya umum mesti diadakan sebelum bulan Oktober 2009.

Anwar, yang menjadi pengkritik utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berasaskan kepada tindakan afirmatif dan kelembapan kerajaan dalam usaha membasmi rasuah, mengumumkan bulan lalu bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen jika pilihanraya diadakan selepas April 2008 selepas tamat tempoh sekatan beliau aktif dalam politik.