Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'MIC sudah tewas 4 kali' - Umno mahu bertanding di Bukit Selambau pada PRU15
Diterbitkan:  Jan 22, 2022 2:42 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Umno Merbok mahu MIC memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Selambau dalam PRU akan datang.

Perkara itu dinyatakan Ketua Umno Merbok Annuar Ahmad dalam surat kepada Ahmad Zahid Hamidi, yang meminta agar presiden parti itu membincangkannya dengan MIC.

Dalam surat yang dilihat Malaysiakini itu, Annuar berkata Umno mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang di kerusi itu.

"Tuntutan ini sama sekali tidak, dalam apa jua cara sekalipun, memperkecilkan usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh MIC untuk DUN Bukit Selambau. Hakikatnya MIC masih dan akan terus menjadi komponen yang penting bagi BN Parlimen Merbok.

"Tuntutan ini atau mana-mana bahagian daripadanya tidaklah bersifat ingin mencetuskan perbalahan atau kontroversi, sebaliknya berfungsi sebagai suatu instrumen bagi menjunjung ketetapan yang telah dicapai dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Merbok bagi 2020 dan 2021.

"Harapan saya agar Datuk Seri (Ahmad Zahid) dalam semangat keluarga BN memaklum dan berbincang serta membuat perundingan dengan presiden MIC bagi mencapai penyelesaian bersama," kata Annuar.

Annuar membangkitkan bahawa MIC telah kalah di kerusi itu sebanyak empat kali berturut-turut, iaitu pada PRU12, PRK 2009, PRU13 dan PRU14.

DUN Bukit Selambau diwakili PKR sejak 2009.

Annuar turut berkata Umno perlu bertanding di kerusi itu dengan mengambil kira 61.1 peratus pengundi adalah pengundi Melayu.

"Di 16 pusat daerah mengundi (PDM), pengundi Melayu melebihi pengundi India (76.20 peratus) dan hanya lima PDM Pengundi India melebihi pengundi Melayu (23.80 peratus)," katanya lagi.

Katanya lagi, tuntutan itu turut dipersetujui oleh sayap pemuda, wanita dan puteri Umno Merbok.

"Menginsafi kekalahan besar BN dalam PRU14 di Kedah, satu tawaran baru perlu dipersembahkan oleh BN.

"Tawaran baru yang ingin diketengahkan iaitu mengembalikan semula kerusi DUN Bukit Selambau kepada Umno dalam PRU15," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS