Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
NGO mohon campur tangan Agong henti pembalakan 25 tahun

Selepas kejadian banjir Disember lalu meragut sekurang-kurangnya 54 nyawa, beberapa NGO hari ini memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong bagi menitahkan agar kerajaan menghentikan kegiatan pembalakan di seluruh negara selama 25 tahun.

Diketuai Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil, kumpulan NGO tersebut menyerahkan memorandum kepada Istana Negara tengah hari tadi.

Selain menggesa kerajaan mengenakan moratorium pembalakan, mereka juga meminta Banjaran Titiwangsa diwartakan sebagai taman negara.

"Kita minta kerajaan pusat meletakkan moratorium pembalakan selama 25 tahun untuk hutan-hutan kita dibangunkan semula dan juga yang paling mustahak untuk gazetkan Banjaran Titiwangsa.

"Itu yang paling mustahak. Kalau kita tak gazetkan Banjaran Titiwangsa, pembukaan dan kemusnahan hutan akan terjadi setiap hari.

"Mangsa-mangsa kematian akibat banjir sangat tinggi pada tahun ini dan kita tak mahu melihat ada lagi kematian-kematian kerana banjir, tanah runtuh ataupun yang akan terjadi,” katanya kepada media selepas itu.

Selain itu mereka juga menggesa hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar, menghentikan projek pembangunan di kawasan sensitif dan melindungi hutan sebagai kawasan tadahan air.

Selain Peka, empat lagi NGO yang turut menyampaikan memorandum tersebut ialah Greenpeace Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Harapan Empati Aduan Rakyat (Heart) dan Otai Reformis 1998.

Senada dengan Shariffa Sabrina, Presiden Otai Reformis, Abdul Razak Ismail juga memohon Seri Paduka Baginda agar menggesa kerajaan memastikan lesen pembalakan dibekukan.

"Kita juga memohon Duli Yang Maha Mulia untuk menasihati kerabat-kerabat diraja. Pasal kami tahu kerabat-kerabat diraja ni adalah mereka yang memegang permit-permit balak.

"Rakyat tengah marah dengan tauke-tauke balak dan mereka juga marah dengan pemegang-pemegang lesen balak ni," katanya.

Banjir yang melanda beberapa negeri bulan lalu membawa kepada kritikan bahawa pembalakan adalah punca utama bencana berkenaan, terutama selepas imej serpihan kayu balak di Sungai Kerau, Pahang muncul.

Walaupun menafikan pembalakan merupakan faktor berlaku banjir, Jabatan Perhutanan Pahang awal bulan ini mengeluarkan arahan agar aktiviti pembalakan di seluruh negeri dihentikan buat sementara waktu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen