Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hubungan antara Umno Kelantan dan PAS negeri menimbulkan tanda tanya selepas kedua-dua parti itu mengadakan mesyuarat bersama di Kota Bharu hari ini.

Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata parti itu mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan PAS di peringkat negeri berkuat kuasa serta merta.

Sebaliknya, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ahmad Yakob dalam catatan di Facebooknya pula mengatakan PAS Kelantan kekal menjalinkan kerjasama dengan Umno sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditemui media selepas mesyuarat itu, Ahmad Jazlan berkata keputusan untuk memutuskan kerjasama itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek, antaranya berkaitan hubungan PAS dengan Bersatu.

"Kita menghormati keputusan PAS untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) yang didaftar secara sah dan dalam masa PAS mengulangi untuk turut sama berada dalam Muafakat Nasional (MN) yang tidak berdaftar.

"Maka kita sedar dengan kata lainnya pihak PAS dengan sendiri dan secara tidak langsungnya tidak mengendahkan serta terus meminggirkan pandangan keseluruhan ahli Umno," katanya pada sidang media di Pejabat Umno Kelantan di Kota Bharu selepas pertemuan dengan pimpinan PAS negeri.

Namun katanya, hubungan baik dengan kerajaan Kelantan tetap diteruskan selagi mana anggota parlimen PAS memberi sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di peringkat pusat.

"Dalam konteks Kelantan, kita memutuskan mana-mana parti yang berkerjasama dengan Bersatu, bagi kita mereka bukanlah rakan untuk menghadapi pilihan raya umum (ke-15) ," tambahnya.

Bagaimanapun Ahmad Yakob yang juga menteri besar Kelantan pula mengatakan PAS Kelantan kekal menjalinkan kerjasama dengan Umno sehingga PRU akan datang.

Dalam catatan ringkas di Facebook itu, Ahmad Yakob turut memaparkan gambar pertemuan berkenaan.

"Keputusan ini dibuat semasa perjumpaan dengan biro politik Umno (Kelantan) petang tadi," katanya ringkas.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata parti itu perlu menghormati keputusan akar umbi dan pucuk pimpinan, termasuk keputusan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bagaimanapun katanya, Pemuda Umno Kelantan menghormati keputusan PAS untuk kekal bersama Bersatu.

Noor Hariri berkata, Umno dan PAS telah melalui persefahaman politik sehingga termeterainya piagam Muafakat Nasional pada September 2019 ketika bersama-sama menjadi pembangkang.

Manakala PAS pula katanya mengikat perjanjian bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) setelah menjadi Kerajaan.

"Mengambil kira kepada semua peristiwa yang disebut di atas, kami membawa suara akar umbi ahli Umno Kelantan untuk berpisah dengan PAS Kelantan sehingga PRU15 selagi mana kerjasama bersama Bersatu masih diteruskan," tegasnya dalam satu kenyataan.

Lihat Komen
ADS