Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
55 positif Covid-19, sebuah sekolah di Kota Bharu ditutup

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, di Kota Bharu ditutup selama lapan hari selepas merekodkan 55 kes positif Covid-19 sejak 19 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin berkata kes kumulatif di sekolah itu membabitkan seramai 55 orang termasuk 25 kes semalam.

"Kesemua yang positif itu adalah hasil ujian saringan ke atas 78 kontak rapat di sekolah berkenaan.

"Susulan kes positif yang dikesan, sesi persekolahan SMKA Melor terpaksa ditangguhkan selama lapan hari bermula 20 sehingga 27 Januari ini dan digantikan dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Sementara itu, Zaini berkata seramai 378 pelajar dan kakitangan sekolah menengah di negeri ini disahkan positif Covid-19 melalui 10 kluster pendidikan sehingga semalam.

Selain itu katanya, terdapat 25 kluster yang aktif di negeri ini dengan kumulatif sebanyak 684 kes

Antara kluster pendidikan membabitkan Kluster Embi Telipot, Jalan Kompleks, Pulau Melaka, Padang Raja, Jalan Pangkal Kalong di Kota Bharu; Jalan Bandar Ciku, Gua Musang; Jalan Bukit Merbau, Pasir Puteh; Lorong Banggol Manok, Pasir Mas dan Kampung Tujuh Tumpat.

"Kira-kira 50 peratus daripada kumulatif kes melibatkan pelajar sekolah, manakala selebihnya adalah kakitangan dan orang awam," katanya.

Lihat Komen
ADS