Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Melakukan pencerobohan hutan simpan untuk menanam kelapa sawit sebelum dijual kepada pihak lain menjadi modus operasi peneroka tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan lumayan.

Difahamkan, kegiatan itu menawarkan pulangan sekitar RM6,000 bagi 0.4 hektar kepada pihak pembeli yang sanggup membeli untuk menuai hasil.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata, ia menjadi taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan yang dikesan pihaknya.

Jelasnya, permintaan terhadap pembelian tanah dengan pakej tanaman pokok kelapa sawit berusia antara satu hingga dua tahun itu agak tinggi walaupun tanah yang diteroka tidak bergeran malah terletak di kawasan hutan simpan.

"Kebanyakan pembeli tertarik untuk membeli tanah terbabit kerana harga yang ditawarkan murah selain sudah terdapat tanaman pokok kelapa sawit.

"Ini antara taktik terbaru sindiket pencerobohan hutan simpan yang kita kenal pasti. Mereka akan teroka terlebih dahulu sebelum menjual kepada orang lain. Orang ramai menyangkakan tanah berkenaan milik individu menyebabkan mereka membelinya walaupun tidak mempunyai geran.

"Jadi kita menasihati orang ramai supaya tidak menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan," katanya pada sidang media ketika melakukan operasi bersepadu pencerobohan Hutan Simpan Relai, di Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan memusnahkan tanaman membabitkan 20 hektar di Hutan Simpan Relai yang diceroboh sindiket terbabit sejak dua tahun lalu.

Abdul Khalim berkata, pihaknya mendapati kawasan tersebut diceroboh sindiket dan ditanam dengan kelapa sawit.

"Hari ini kita mengambil pendekatan memusnahkan tanaman-tanaman ini sebelum dan kawasan ini akan ditanam dengan pokok hutan.

"Operasi hari ini membabitkan kerjasama daripada agensi-agensi lain dan kita menggunakan empat jentolak dan dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk membersihkan kawasan yang diteroka ini.

"Selain itu, kita juga mengenal pasti beberapa lokasi lain yang turut diceroboh dan kita dalam proses pemusnahan," katanya.

Lihat Komen
ADS