Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najwan cadang PH namakan Maszlee sebagai calon MB Johor
Diterbitkan:  Jan 26, 2022 4:05 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Adun Kota Anggerik PKR mencadangkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik yang baru menyertai parti mereka dinamakan sebagai calon menteri besar Johor bagi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Najwan berkata ini selari dengan strategi PH semasa PRN Melaka November lalu ketika menamakan Naib Presiden Amanah Adly Zahari sebagai calon ketua menteri gabungan itu.

“Seperti mana dalam PRN Melaka PH menamakan Adly Zahari sebagai calon ketua menteri, PH juga wajar menamakan calon menteri besar untuk menarik keyakinan pengundi Johor.

"Saya mencadangkan agar diletakkan Maszlee sebagai calon dalam PRN Johor dan dinamakan sebagai calon menteri besar jika PH diberi mandat," katanya di Twitter.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan PKR sedang bercadang untuk meletakkan Maszlee di kerusi DUN Layang-Layang dan namanya juga dikaitkan sebagai calon menteri besar yang berpotensi.

Bagaimanapun, Maszlee memberitahu Malaysiakini bahawa dia belum menerima pengesahan rasmi daripada PKR.

Najwan Halimi.

Penyandang DUN Layang-Layang ialah Onn hafiz Ghazi, cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar dan anak saudara kepada veteran Umno Hishammuddin Hussein.

Maszlee meluangkan masa lebih setahun sebagai ahli parlimen bebas sebelum menyertai PKR tahun lepas.

Dia dipecat daripada Bersatu pada 2020 selepas membantah keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk mengeluarkan parti itu daripada gabungan PH.

Sebelum menyertai politik pada 2018, Maszlee menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam bidang akademik.

DUN Layang-Layang ialah satu daripada dua kerusi DUN dalam kawasan parlimen Simpang Renggam, di mana Maszlee adalah ahli parlimen. Kerusi satu lagi ialah Machap. Kedua-duanya adalah kerusi majoriti Melayu dengan populasi bukan Melayu yang besar.

Walaupun Maszlee yang mewakili PH memenangi Simpang Renggam pada pilihan raya umum 2018, kedua-dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen ini dimenangi Umno.

Pada pilihan raya umum lalu, Onn Hafiz dari Umno memenangi DUN Layang-Layang dengan majoriti tipis 364 undi.

Lihat Komen
ADS