Sejak Sanusi jadi MB Kedah, masalah air tak dipandang remeh
Kerajaan Kedah menyasarkan pengurangan peratusan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini kepada 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang, berbanding 49 peratus pada masa ini.
Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bagi mengurangkan peratusan NRW itu, kos yang tinggi iaitu lebih RM900 juta diperlukan untuk kerja-kerja menukar paip lama di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh masalah air yang telah lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di negeri ini.
"Sejak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei 2020, masalah ini telah diletakkan sebagai prioriti (keutamaan) untuk diselesaikan dalam tempoh kepimpinan beliau.
"Menyedari bahawa ini bukan isu yang baru dan telah berlarutan begitu lama, sememangnya sukar untuk masalah ini diatasi sepenuhnya dalam tempoh yang singkat," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi kerajaan negeri berharap orang ramai dapat bersabar sementara pelbagai usaha sedang giat dijalankan kerajaan dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk membawa keluar rakyat daripada dibelenggu masalah air itu.
“Kerajaan negeri yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi apabila kesemua loji rawatan air (LRA) yang sedang dalam pembinaan siap," kata kenyataan itu.
LRA terbabit adalah LRA Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar yang dijangka siap sepenuhnya antara 2023 dan 2024.
- Bernama

